Pages - Menu
13.4.17
Hadi: Mengapa DAP begitu takut?
7.4.17
RUU 355: Bukan pintu belakang laksana hudud
4.4.17
PAN pengkhianat sebenar Pas
Tempoh reman Tan Sri cuba rasuah Sultan Johor dilanjutkan
1.4.17
Hadi bentang sendii RUU355
MARANG 31 Mac - Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan dibentangkan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.
Menurut Presiden Pas itu, pembentangan rang undang-undang tersebut telah mendapat persetujuan kerajaan yang kemudiannya akan dibahaskan dalam sesi kali ini.
Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung sehingga 6 April ini.
Abdul Hadi walau bagaimanapun berkata, tarikh pembentangan pindaan itu bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.
"Insya-Allah saya akan bawa sendiri (bentang RUU 355) di Parlimen dan kita sudah dapat persetujuan untuk bawa dalam sidang kali ini juga dan akan dibahaskan.
"Speaker akan tentukan masa mengikut standing order Parlimen selesai urusan kerajaan. Walau bagaimanapun kerajaan boleh beri (tarikh pembentangan) pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita sejurus selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, dekat ini hari ini.
Abdul Hadi mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.
Kelmarin, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur berkata, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Abdul Hadi.
Abdul Hadi berkata, keputusan BN tidak membentangkan rang undang-undang tersebut tidak memberi kesan kepada Pas untuk meneruskan pembentangan.
"Tak ada kesan. Sebenarnya kerajaan setuju dan beri jalan untuk kita bawa (bentang)," katanya.
Beliau turut menggesa semua ahli Parlimen yang beragama Islam supaya bersama menyokong pembentangan tersebut kerana itu merupakan kewajiban dalam Islam.
"Ini berkaitan dengan hak dan kewajiban orang Islam. Tidak ada sebab bagi orang bukan Islam untuk campur tangan," tegasnya.
Ditanya mengenai pelbagai halangan yang dihadapi Pas untuk membentangkan RUU 355 itu, Abdul Hadi berkata: "Kita hadapi halangan itu dan kita kenal siapa yang menghalang."
RUU355 milik Kerajaan
KUALA LUMPUR 31 Mac – Dakwaan kerajaan menolak Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 adalah tidak berasas kerana akta itu milik kerajaan walaupun ia akan dibawa oleh Pas bagi cadangan meminda akta itu sebagai usul persendirian.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak timbul isu kerajaan menolak RUU 355 ini kerana akta itu adalah milik kerajaan di bawah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang telah lama ada.
"Cuma bezanya, cadangan pindaan ini dibentangkan oleh Pas di Parlimen dan bukannya kerajaan, tetapi ramai keliru bahkan sewenang-wenangnya membuat andaian dan kesimpulan bahawa kerajaan menolak pindaan tersebut.
"Selepas dicadangkan oleh Pas, terpulang kepada kuasa demokrasi di Parlimen untuk membincangkan dengan baik dan buruk setiap aspek dalam pindaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 dan sebaliknya kekal sebagai usul persendirian yang akan dibawa oleh Pas.
Asyraf berkata, usul persendirian RUU 355 akan mengikut prosedur dan aturan mesyuarat Parlimen yang memerlukan semua Rang Undang-undang Kerajaan diselesaikan terlebih dahulu. Menurutnya, jika ditakdirkan RUU 355 ini diterima kelak dengan majoriti mudah, maka RUU ini diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan penyata kerajaan.
Katanya, kerajaan tetap istiqomah dalam usaha memartabatkan institusi mahkamah syariah sejak Akta 355 diperkenalkan kerajaan pada tahun 1965 sebelum dipinda buat kali pertama pada 1984 dan kali kedua 1989. "Persoalannya kini, adakah parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan terutamanya Amanah, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR bersedia menyokong RUU 355 ini jika Pas membentangkannya," katanya.
PM Najib : Hubungan Malaysia-Korea Utara tidak putus
CHENNAI 31 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.
Beliau sebaliknya yakin hubungan diplomatik antara kedua negara akan pulih seperti sediakala selagi norma-norma diplomasi dan Konvensyen Vienna dipatuhi.
"Saya harap Korea Utara tidak buat seperti ini lagi, sebab ini akan memudaratkan hubungan Korea Utara-Malaysia," katanya dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Chennai, hari ini.
Perdana Menteri dan rombongan kemudiannya berlepas ke New Delhi bagi meneruskan lawatan rasmi enam hari ke India.
Menurut Perdana Menteri, penyelesaian kes pembunuhan abang Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam menepati objektif rundingan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
Katanya, pasukan yang terlibat dalam proses rundingan telah menetapkan dua objektif utama iaitu memastikan semua rakyat Malaysia di negara itu dapat keluar dengan selamat dan rundingan perlu mengambil kira kedaulatan negara tidak diketepikan.
"Walaupun pihak Korea Utara menetapkan beberapa syarat yang sukar semasa rundingan, persefahaman akhirnya dapat dicapai dan mereka telah tunaikan hasrat kita," katanya.
Kepada satu soalan apa antara 'kesukaran' yang dihadapi oleh pasukan perunding, Najib menjelaskan negara tersebut meminta dibuat beberapa perubahan pada saat akhir.
"Ada kalanya waktu rundingan tidak sesuai seperti pada pukul 3 pagi," jelas beliau.
Perdana Menteri juga menjelaskan beliau tidak terlibat dalam rundingan tersebut dan tidak ada menghubungi pemimpin tertinggi negara itu ketika proses rundingan berlangsung.
Ditanya mengenai nasib tiga suspek yang disyaki bersembunyi di Kedutaan Korea Utara, Perdana Menteri berkata, mereka telah disoal siasat oleh polis dan dibenarkan meninggalkan Malaysia.
"Saya percaya mereka telah keluar dari negara kita," katanya. – UTUSAN



