PH serah pada Dr M tarikh peralihan kuasa



(Malaysiakini) Majlis Presiden PH menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di ibu negara Nov depan.

Bercakap pada sidang media lewat malam di Putrajaya, Mahathir berkata PH membuat keputusan itu sebulat suara.

"Kita telah bincang panjang lebar berkenaan dengan masa depan parti.

"Akhirnya saya tak payah lah ulang apa yang kita capaikan. Terdapat dua pendapat.
Iklan

"Akhirnya semuanya diserah kepada saya. Apa yang saya cakap mereka akan turut. Peralihan akan berlaku lepas Apec.

"Tiada tempoh masa (timeframe), terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas atau tidak.  Itulah kepercayaan yang kita persetujui oleh (Majlis Presiden) parti kepada saya. Alhamdulillah," katanya.

Pada sidang media itu juga, Dr Mahathir diapit oleh bakal penggantinya Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir pimpinan tertinggi parti-parti dalam gabungan PH, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan pada sidang akhbar itu.



Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata semua pihak tidak ada keraguan terhadap Dr Mahathir selaku perdana menteri.

"Saya cadang Tun diberi peluang mentadbir negara dan tetapkan bila masa yang sesuai. Sementara itu saya kena bersabar," kata Anwar.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata, mesyuarat malam ini juga berbincang tentang Pilihan Raya Sarawak bagi penyusunan kerusi untuk memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri.

Jelas beliau, PH akan mengadakan satu konvensyen bagi membincang dan menyeleraskan pilihan raya negeri Sarawak.

Sebelum ini, Dr Mahathir telah berulang kali berjanji untuk meletakkan jawatan selepas sidang kemuncak Apec di Kuala Lumpur pada November akan datang.

Sarawak Report pada 11 Feb lalu mendakwa terdapat sekumpulan anggota parlimen kini sedang mengusahakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Anwar menafikan penglibatan Mahathir dalam isu SD itu, namun menjelaskan terdapat usaha daripada PAS, Umno dan "sekumpulan" ahli PKR.

Terdapat juga usaha dalam parti Anwar sendiri untuk meraih dua SD berasingan - satu menyokong presiden PKR dan yang lain supaya Dr Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal.

PAS juga turut merancang untuk menggerakkan undi percaya buat Dr Mahathir bagi menerajui negara sehingga akhir penggal di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Pewaris Melayu : Kena game dah DS Anwar kita. PM-in-waiting terlama di dunia

2 Comments
Jom komen di Facebook!

Berundur lagi 3 tahun, Hasrat Dr. Mahathir bunuh PH



(Utusan) KUALA LUMPUR 28 Sept. - Hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berundur daripada jawatan sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya tiga tahun lagi didakwa akan membunuh Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr. Syed Husin Ali berkata, hal itu kerana Presiden partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkempen dan mengatur sebarang rancangan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, kenyataan Dr. Mahathir dalam satu dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York kelmarin menyebabkan beliau secara peribadi tidak mempercayai Perdana Menteri Ketujuh itu.

"Kalau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru nak serah (jawatan Perdana Menteri kepada Anwar) itu nak membunuh parti, nak membunuh PH.

"Tak ada masa untuk Anwar berkempen, dia mesti bersedia sekurangnya dua tahun untuk mengatur pelbagai rancangan dan kempen," katanya memetik laporan Malaysiakini, di sini hari ini.

Syed Husin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Memperingati 50 tahun bekas Yang Dipertua Agung Pas, Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, di sini.

Kelmarin, Dr. Mahathir memberitahu beliau hanya akan berundur sebelum PRU-15 dan mungkin ada tiga tahun paling lama untuknya berbuat demikian.

Di bawah perjanjian antara pemimpin PH, Mahathir perlu menyerahkan kuasa kepada Anwar tetapi tiada tarikh ditetapkan.

Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PH itu berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji berundur apabila negara kembali pulih dan stabil. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

PKR berpecah, tidak patut serah jawatan PM kepada Anwar



(Utusan) KUALA LUMPUR 30 Sept. - Perpecahan yang didakwa berlaku dalam PKR ketika ini menjadi antara alasan mengapa jawatan Perdana Menteri dirasakan tidak sesuai diberikan kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu merupakan reaksi Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Sazmi Miah yang merujuk kata-kata Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr. Syed Husin Ali berhubung komitmen Perdana Menteri daripada Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penyerahan jawatannya kepada Anwar.

"Dengan perpecahan dalaman yang ketara dalam PKR sekarang, memang tidak wajar jawatan Perdana Menteri diberikan kepada Anwar, ini diketahui umum, bukan sekadar khabar angin," katanya yang dipetik daripada laporan Free Malaysia Today hari ini.

Hubungan antara kem Bersatu dan PKR dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat semakin tidak rapat selepas dianggap Dr. Mahathir mungkin tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Hal demikian diperkuatkan lagi apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri nampak menyokong kuat Dr. Mahathir supaya kekal sebagai Perdana Menteri selama satu penggal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Berdasarkan perjanjian sebelum ini yang didakwa berlaku, Dr. Mahathir dijangka menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar pada Mei 2020 iaitu genap dua tahun PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Disebabkan beberapa kenyataan Dr. Mahathir yang dilihat tidak ingin menyerahkan jawatan tersebut, beberapa pemimpin PKR tanpa berselindung mempertikaikan Pengerusi PH tersebut.

Namun bagi Sazmi, sebagai pemimpin dan negarawan ulung, semestinya Dr. Mahathir mengambil kira pelbagai aspek dan situasi semasa jika mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada sesiapa.

"Ini bukan calang-calang jawatan, bukan hendak melantik penghulu atau penggawa kampung, ianya perlu dibuat dengan penuh kebijaksanaan," katanya.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa lebih 90 peratus atau 197 daripada 219 ketua bahagian PKR di seluruh negara menyokong kepimpinan Anwar dan menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu.

Sazmi berkata, pemimpin PKR yang mahu Anwar menjadi Perdana Menteri sepatutnya menunggu sehingga dua tahun, bukannya melabelkan Dr. Mahathir sebagai individu tidak boleh dipercayai.
 
"Mereka agak gelisah, sememangnya menunjukkan mereka kurang sabar dan seperti takut kepada bayang-bayang sendiri, belum pun tiba tarikh sebenar yang mereka war-warkan kononnya dua tahun (untuk serah jawatan) tapi sekarang sudah beria menuntut janji.

"Jadi, untuk melabel (Dr. Mahathir tidak boleh dipercayai) itu kenalah sampai masa baru boleh cakap," katanya dalam laporan portal itu lagi.

Sazmi juga bimbang sikap 'celupar' sesetengah pemimpin PKR mendesak Dr. Mahathir menyerahkan jawatan kuasa kepada Presiden PKR itu akan menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan.

"Dengan melabelkan Perdana Menteri tidak boleh dipercayai dan tidak boleh pegang janji, ia satu tuduhan yang serius, tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin parti, apatah lagi seseorang yang berkaliber seperti Syed Husin.
 
"Sudah tentu ia akan mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati rakan-rakan dalam Bersatu, ianya umpama kita beri pandangan Anwar tidak layak dilantik Perdana Menteri kerana beliau adalah bekas banduan, tetapi kita tidaklah sampai tahap nak kata begitu," katanya.

Beliau yakin Dr. Mahathir akan membuat keputusan apabila sampai masanya dan Bersatu Kelantan menyokong penuh Pengerusi parti terus mentadbir negara sehingga PRU-15.

1 Comment
Jom komen di Facebook!

Inquest Adib : Kematian Adib akibat jenayah, polis lambat bertindak


Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali yang mengheret dan memukulnya ketika rusuhan berlau di Kuil Sri Mahamariamman di Seafield tahun lalu.

Koroner Rofiah Mohamad ketika menyampaikan keputusan bagi menentukan punca kematian Adib juga mengumumkan mahkamah mendapati polis tidak bertindak semasa rusuhan berlaku.

Menurutnya, trauma tumpul pada dada yang membawa kepada kematian anggota bomba itu bukan akibat perbuatan sendiri mahupun disebabkan oleh kemalangan.

"Saya juga membuat dapatan kematian arwah disebabkan kegagalan PDRM dan FRU kawal rusuhan.


Posted in | 3 Comments
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .