"Penyakit Kalut" Pakatan Pembangkang



MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita melihat semakin banyak 'penyakit politik' menyerang pemimpin Pakatan Harapan dan sekutu mereka.

Ada yang minta rakyat tidak keluar mengundi. Ada yang mahu merosakkan undi. Ada yang terus cuba menimbulkan keraguan rakyat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun sebelum ini orang yang membuat seruan itu berpuluh-puluh tahun menyuap nasi ke dalam mulut isteri dan anak-anaknya hasil rezeki berkhidmat dengan agensi itu. Ada pula yang mahu kembali menjadi Perdana Menteri biarpun usia bagaikan 'menongkat langit'.

Pembangkang juga diserang 'penyakit', lepas manis sepah dibuang seperti mana dialami oleh sebuah parti serpihan yang sebelum ini pemimpinnya bertindak bagaikan 'duri dalam daging' ketika berada di dalam parti asal semata-mata mahu memenuhi agenda politik 'taiko besar'.

Tetapi sekarang mula rasa di­pinggirkan selepas 'taiko besar' dalam pakatan mereka mendapat 'teman baharu' yang dianggap lebih berpengaruh dan mempu­nyai tokoh lebih hebat.

Kasihan presiden parti itu, jika sebelum ini dia 'ditatang bagaikan minyak penuh' dengan diberi pelbagai keistimewaan terutamanya di Pulau Pinang oleh 'taiko besar' tetapi kini semua sudah berlalu.

'Taiko besar' lebih selesa untuk bersama 'calon Perdana Menteri (PM) sementara'. Walaupun sebelum ini mereka merupakan musuh ketat, tetapi sekarang bak kata orang dah 'cium mulut'. Antara 'taiko besar' dan 'calon PM sementara' semakin akrab. Parti 'isteri setia' pula terus menjadi pengikut. Mahu cakap banyak, bimbang terlepas pula peluang untuk menjadi 'Timbalan Perdana Menteri'.

Walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri sudah 'menyatakan ikrar' untuk sekadar menjadi kuli sahaja, tetapi 'isteri setia' tetap perlu berhati-hati, apatah lagi 'anak Pak Ali' sedang mengintai peluang. Malah khabarnya 'anak Pak Ali' lebih popular daripada 'isteri setia' sejak mereka membuat keputusan bekerjasama de­ngan 'calon PM sementara'.

Dengar cerita ramai penyokong parti 'isteri setia' kecewa dengan apa yang berlaku. Ia kerana setelah bermati-matian berjuang mempertahankan suaminya yang didakwa dianiaya oleh 'calon PM sementara' tiba-tiba boleh pula bergabung dalam satu pakatan. Maka sia-sialah mereka me­nyerah badan untuk dibelasah oleh FRU ketika demonstrasi 1998-1999 yang ketika itu negara berada di bawah kuasa 'calon PM sementara'.

Lagipun mereka tidak percaya orang yang mereka pernah anggap sebagai 'Maha Firaun' akan menjadi Perdana Menteri sementara, kalau pun dia memenuhi janjinya, jawatan itu tidak akan diserah kepada 'lelaki mata lebam' memandangkan 'Boboi kan ada'.

Hakikatnya bukan mereka sahaja, malah boleh dikatakan majoriti penyokong parti-parti dalam 'pakat-pakat' berasa tertipu. (Dahulu 'calon PM sementara' pernah berkata, pakatan itu bermaksud pakat-pakat buat perkara jahat).

Dalam kalangan penyokong 'taiko besar' pun sudah ada riak-riak tidak puas hati berikutan tindakan parti dua beranak tersebut kembali bekerjasama dengan lelaki berusia 93 tahun.

Mereka hairan bagaimana semua itu boleh berlaku sedangkan selama 22 tahun, 'taiko besar' dan lelaki berkenaan bagaikan 'air dan minyak' yang tidak boleh bercampur dalam satu kuali.

Selain itu, mereka juga diberikan gambaran betapa 'jahatnya' lelaki tersebut sehingga dianggap oleh seorang pemimpin parti 'taiko besar' - hantu nombor satu di Malaysia.

Tetapi sekarang 'taiko besar' dan lelaki 93 tahun itu sudah duduk semeja, maknanya selama 22 tahun mereka menyaksikan opera politik cukup hebat, sekali gus membuktikan lelaki 93 tahun sanggup menggadaikan prinsip semata-mata mahu melunaskan dendam kesumatnya sehingga bersedia 'merangkak' untuk berbaik-baik dengan 'taiko besar'.

Sementara itu, 'geng kuning' terus 'meroyan' menjelang pilihan raya. Mereka membangkitkan isu-isu yang bertujuan mewujudkan keraguan rakyat kepada SPR. Puak-puak ini bernasib baik kerana mereka bukan berada di zaman pemerintahan 'calon PM sementara'. Kalau tidak, kita boleh bayangkan apa yang berlaku jika 'geng kuning' turun ke jalanan dan di mana mereka akan disumbatkan.

Bagi penulis, sebenarnya, pe­mimpin 'geng kuning' tidak ada prinsip. Mereka adalah pembangkang tetapi pengecut untuk masuk ke dalam gelanggang politik. Mereka menggunakan slogan mewujudkan pilihan raya bersih, telus dan adil sebagai 'senjata' memburuk-burukkan kerajaan.

Tetapi kalau melihat kepada pencapaian parti-parti pembangkang, terbuktilah puak-puak 'geng kuning' buta mata dan hati serta tertutup minda untuk melihat kebenaran.

Kalau tanya budak tadika pun, mereka boleh tahu, adil atau tidak, bersih atau tidak pilihan raya di negara ini apabila pembangkang terus memerintah Se­langor, Pulau Pinang dan Kelantan hingga ke hari ini.

Bagi 'geng kuning', pilihan raya di negara ini hanya bersih, adil dan telus jika 'geng pakat-pakat' menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum. Selagi itu tidak berlaku, selagi itulah mereka akan terus 'menyalak' termasuklah berbondong-bondong turun ke jalan raya.

Dan kini mereka bangga kerana 'calon PM sementara' yang sebelum ini cukup tegas menentang demonstrasi sudah bersama mereka. Tetapi kita tidak terkejut kerana biasalah ahli politik pembangkang 'menjilat ludah sendiri'!

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Mampukah BN menang di Johor?

PILIHAN RAYA politik di Malaysia menyaksikan Johor adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN). Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) 2008, BN berjaya memperoleh 25 kerusi daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, daripada keseluruhan 56 kawasan, pakatan pembangkang cuma menang di enam kerusi.

Tatkala itu Johor masih utuh sokongan pengundi Melayu dan tidak terlibat dengan tsunami pengundi Melayu yang menyaksikan dalam PRU berkenaan, BN hilang lagi 58 kerusi Parlimen di seluruh negara. Situasi itu berubah dalam PRU-13.

Di Johor, BN kehilangan lima kerusi Parlimen dan tewas di 18 DUN - iaitu bertambah empat lagi kerusi Parlimen dan 12 DUN. Fakta ini memperlihatkan bahawa istilah Johor sebagai kubu kuat BN yang sebaris dengan Sabah dan Sarawak mula terhakis. Menyedari hakikat ini, pakatan pembangkang mula yakin tidak mustahil untuk mereka menembusi Johor.

Sejurus sahaja PRU-13, mereka mula menggerakkan jentera berkempen bagi memastikan berlaku pertambahan pengundi di Johor serta memberi fokus terhadap pengundi muda. Begitu juga dengan BN yang turut menggerakkan aktiviti pendaftaran pengundi baharu. Hasilnya terbukti melalui daftar pengundi terbaharu yang menunjukkan Johor adalah negeri kedua tertinggi dari segi jumlah pengundi di belakang Selangor iaitu sebanyak 1,807,528 pengundi.

Pembangkang turut menggunakan kajian data mereka untuk menggerakkan strategi di Johor. Satu alternatif yang dibuat adalah dengan membuat perbandingan jumlah, taburan dan corak pengundi yang berkiblat kepada mereka dalam PRU-13, termasuklah menilai majoriti yang dimenangi BN di Johor dalam PRU lepas.

Statistik memperlihatkan majoriti yang dimenangi BN di Johor cuma 135,094 undi, lebih rendah daripada pertambahan pengundi. DAP pada masa sama agak agresif menggerakkan kempen mendaftar pengundi baharu. Mereka mendaftar di se­genap ceruk di Johor. Impaknya, jumlah pertambahan pengundi di Johor me­ningkat mendadak iaitu sebanyak 302,979 dengan 279,647 adalah pengundi muka baharu. Jumlah ini mencatat pertambahan paling tinggi mengikut negeri.

Walaupun corak pertambahan ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur tentang kekuatan pembangkang mahupun BN kerana ia bersifat tidak sekata di setiap kawasan parlimen, namun pertambahan pengundi ini perlu dicurigai jika dibuat kajian empirikal data yang lebih mendalam kerana corak pertambahan pengundi muda misalnya agak signifikan di kawasan parlimen sasaran pembangkang. Ini dibuktikan melalui kajian di beberapa parlimen.

Parlimen Kulai misalnya, di a­tas kertas memang ditafsirkan sukar untuk dirampas kembali. Di parlimen ini, sejumlah 54.4 peratus adalah majoriti pengundi Cina manakala pengundi Melayu pula sekadar 34.7 peratus. Begitu juga dengan Parlimen Bakri dengan 52.26 peratus pengundi Cina sementara sekitar 33 peratus sahaja pengundi Melayu - yang nampak sukar untuk ditawan kembali jika diukur berdasarkan perkembangan politik semasa.

Bagi Gelang Patah pula, pertambahan pengundi dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 39 tahun adalah agresif. Seramai 21,243 pengundi muka baharu di Parlimen ini adalah di bawah 39 tahun dengan 10,835 adalah Melayu manakala 7,533 pengundi Cina. Di Pasir Gudang, kerusi Parlimen sasaran pembangkang dengan kedudukan 19,910 orang adalah pengundi kali pertama dengan 11,157 Melayu dan 5,908 pengundi Cina.

Dalam pada itu, Parlimen Segamat menyaksikan jumlah pengundi 53,747 dengan pengundi Melayu berjumlah 24,329, Cina (23,662) dan India (5,459). Pengundi muka baharu pula, 7,483 orang dengan Melayu meliputi 4,305 orang, Cina (2,284) dan India, 733. Daripada jumlah muka baru berkenaan, 5,575 adalah pengundi di bawah 29 tahun.

Jika dibuat perbandingan dengan PRU lalu, Segamat adalah dalam kategori menang tipis. Jika BN tidak berwaspada, Segamat boleh menjadi Parlimen yang kritikal, sekali gus bakal terlepas dari genggaman. Labis juga adalah kawasan menang tipis dengan pengundi seramai 40,194. Pengundi Melayu di situ meliputi 15,234 orang, Cina (18,176) dan India, 5,878. Pengundi muka baharu pula berjumlah 5,204 dengan Melayu (2,518), Cina (1,835), India (655).

Sementara 3,878 pengundi muka baharu adalah di bawah usia 29 tahun. Labis juga dianggap sebuah Parlimen yang kritikal bagi BN. Di atas kertas, selain Labis, Parlimen Pulai turut dilabelkan sebagai kritikal bagi BN. Jumlah pengundi terbaharunya adalah 114,811 orang. Pengundi Melayu di situ terdiri daripada 54,212 orang, Cina (47,033) dan India (11,954). Di kawasan ini, pengundi muka baharunya pula adalah 18,690 orang dengan Melayunya, 9,643, Cina (6,590) dan India, 1,901. Bagi pengundi di bawah 29 tahun di Pulai adalah 17,223 orang termasuklah 11,728 pengundi kali pertama. Secara analisis mudahnya, Parlimen Pulai yang didominasi pengundi India berpotensi untuk BN memperoleh kemenangan.

Bagi Muar pula, jumlah pe­ngundi adalah 52,763 dengan 8,111 meliputi muka baharu. Pengundi Melayu terdiri daripada 33,928 orang, dengan muka baharunya adalah 5,987. Pengundi Cina pula di situ berjumlah 17,845 dengan muka baharunya, 1,935 manakala pengundi India sekadar 739 orang. Di atas kertas, Muar tidak mungkin boleh jatuh ke tangan pembangkang. Parlimen ini adalah kawasan majoriti pengundi Melayu namun dalam PRU-13, BN menang tipis. Malahan ada pihak berani menyatakan Parlimen Muar akan kalah dalam PRU-14 ini. Benarkah?

Dalam gerakan kempen, pembangkang melakukan perang saraf dengan mengumumkan mampu menawan 15 kerusi Parlimen di Johor. Namun setelah dicampur tolak, mereka yakin untuk menawan sekurang-kurangnya 10 Parlimen di negeri itu. Dan jika mampu menang ­lebih, maka ia satu bonus. Sementara itu, 18 kerusi DUN yang dimenangi pembangkang merupakan modal untuk mereka dalam PRU terdekat ini. Apa pun, BN perlu berwaspada supaya pembangkang tidak menambah lagi kerusi DUN itu.

Walaupun begitu, andai kata pembangkang berjaya menawan beberapa kerusi Parlimen lagi, sudah pasti ia akan turut menjejaskan kerusi-kerusi DUN sedia ada. Jika 10 lagi DUN terlepas, maka kedudukan akan menjadi sama. Inilah yang perlu diberi perhatian. Justeru, BN Johor perlu be­kerja keras untuk mempertahankan kawasan-kawasan Parlimen ini kerana jika terlepas maka ia akan mempengaruhi kedudukan Parlimen BN secara keseluruhannya di seluruh negara.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

DAP yang galak sebar berita palsu - Kata Tunku Abdul Aziz kepada Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Bukan UMNO atau Barisan Nasional (BN), tetapi DAP yang menjadi `ejen' penyebar berita palsu menerusi tentera siber mereka, Red Bean Army (RBA) sebagaimana dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menafikan dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya UMNO dan BN merupakan `penyumbang' kepada berita palsu di negara ini.

Tunku Abdul Aziz mendakwa, penyebaran berita palsu yang digerakkan oleh DAP cukup dahsyat sehingga pada suatu tahap ditafsirkan sebagai fitnah bertujuan mahu menjatuhkan kepemimpinan dan mencalarkan imej negara.

"Kita memang tidak bersetuju dengan cara DAP mereka-reka berita palsu, mereka lakukannya hampir setiap hari dengan bermacam-macam dakwaan sehingga menyebabkan status negara kita jatuh.

"Sebagai contoh, bertahun-tahun mereka dakwa negara ini bankrap, itu bukan berita palsu ke? Negara yang maju seperti ini didakwa mereka bankrap," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang yang mendakwa kononnya pengumuman kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu sebagai tidak meningkatkan keyakinan rakyat kerana kerajaan BN serta UMNO merupakan penyumbang terbesar berita palsu di negara ini.

Mengulas lanjut, Tunku Abdul Aziz percaya kenyataan balas Kit Siang itu bertujuan mahu `menjauhkan' DAP daripada tuduhan menyebarkan berita palsu, yang merupakan kepakaran pembangkang terutamanya parti itu.

"Saya tidak hairan Kit Siang kata begini, kerana beliau nak larikan diri daripada tuduhan DAP sebagai `yang memulakan' berita palsu di negara ini," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Keluar kalau tak bangga jadi rakyat Malaysia - Najib



KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata penjawat awam lebih patriotik daripada sesetengah pihak tertentu kerana sentiasa setia dan berdiri teguh di belakang kerajaan yang mampu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

Najib berkata tiada pihak lain yang mampu berbuat demikian sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah negara ketika ini.

"Jangan sampai tak bangga jadi rakyat Malaysia. Kalau tak bangga pi lah orang Kedah kata, pi jauh-jauhlah, tak payah (tinggal) di sini. Dia dah kaya, keluarga dah kaya, abang yang ada kereta mewah 23 buah (dan) tersenarai antara orang yang terkaya di Malaysia. Apa lagi dapat kontrak daripada Petronas berbilion-bilion.

"Apa lagi tuan-tuan? Nak marah apa lagi kepada Malaysia? Malaysia ini tempat rezeki kita sebenarnya. Tempat kita lahir, tempat kita dapat rezeki dan Insya-Allah tempat kita disemadikan bila sampai masanya. Inilah Malaysia yang kita bina melalui semangat patriotik," katanya ketika berucap pada majlis pertemuan bersama penjawat awam persekutuan dan negeri di perkarangan Wisma Persekutuan hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 10,000 penjawat awam itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

Perdana menteri berharap agar penjawat awam tidak melakukan kesilapan dan dapat berfikir secara waras serta tidak menggadaikan prinsip perjuangan dan moral semata-mata untuk memenuhi kehendak peribadi.

"Janganlah sebab tak dapat kehendak kita, peribahasa sebut, marah pada nyamuk, rumah yang nak dibakar. Rumah ini kerajaanlah, kerajaan selama yang ini kita dapat segala faedah, (yang) selama ini hak itu pun dia nak runtuhkan.

"Kerana apa? Kerana dia tak dapat kehendak tertentu dia. Ini bukan soal peribadi. Ini masa depan kita, masa depan setiap daripada kita, anak cucu kita.

"(Sekarang ini) orang PAS pun dah faham dah, (mereka) diperkudakan oleh pihak tertentu. Ini nak berpaut dengan orang tu, nak peluk dengan orang yang kita sendiri pernah kutuk dan dia kutuk kita. Di mana letaknya prinsip, di mana letaknya pertimbangan kita untuk bangsa, agama dan negara," katanya.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar tidak mudah percaya dengan janji manis yang ditaburkan pihak tertentu yang cuba meraih sokongan mereka terutama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Tuan-tuan penjawat awam tentulah faham bahawa dalam sistem kita, kita tak boleh belanja lebih daripada pendapatan. Ini ada pula dalam cakap-cakap mereka, nak mengecutkan saiz perkhidmatan awam. Ada yang kata hina penjawat awam, kata kucing kuraplah, apalah…nak kurangkan saiz penjawat awam. Saya nak beritahu kerajaan pimpinan saya tak akan kecutkan saiz perkhidmatan awam.

"Ini pembangkang kata kita nak mansuhkan GST. Mana nak dapat RM44 bilion? Jangan mansuh GST lepas itu cukai lain pula dikenakan. Banyak yang tipu (dengan janji pembangkang)," kata Najib.

Perdana menteri turut melahirkan keazaman untuk meletakkan Malaysia sebagai antara 20 negara terbaik dan terunggul di dunia jika terus diberi mandat oleh rakyat serta mendapat sokongan padu daripada penjawat awam.

"Tak ada sebab mengapa kita tak boleh sampai, mengisi impian kita. Tapi kita kena melangkah satu 'jambatan' dahulu. Bila kita dah melintas jambatan, sudah menyeberang ke sana, (kita boleh bina) kerajaan yang bukan sahaja stabil, malah kuat dan kukuh.
 
"Tuan-tuan adalah merupakan 'opinion leaders' (individu atau pertubuhan terkemuka yang berkemampuan mempengaruhi orang lain) dan sebagai penjawat awam tuan-tuan boleh mempengaruhi orang lain juga," katanya.

Pada majlis sama, Najib turut mengulangi beberapa kejayaan Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain seperti Arab Saudi dan Amerika Syarikat sehingga Malaysia terus dipandang tinggi oleh masyarakat dunia. BERNAMA

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .