Ismail Sabri: Tidak ada sebab kenapa Umno akan berkubur



(Malaysiakini) Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno - parti yang diterajuinya selama 22 tahun - bakal berkubur.

Katanya, walaupun BN kecundang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tetapi Umno tetap memenangi 54 kerusi parlimen menjadikannya parti yang mempunyai kerusi terbanyak.

"Malah 46 peratus pengundi Melayu masih memberikan kepercayaan kepada Umno yang memperolehi undi Melayu terbanyak berbanding dengan BERSATU sebanyak 20 peratus.

"Malah PKR hanya mendapat 10 peratus undi Melayu.

"Tetapi Umno sebagai pembangkang dengan jumlah 54 kerusi selepas PRU14 walaupun sehingga hari ini tinggal 49 kerusi tapi masih satu parti terbesar dalam parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, sejarah juga memperlihatkan bahawa pencapaian tertinggi parti-parti yang bergelar pembangkang semasa BN menjadi kerajaan sebelum ini tidaklah setinggi mana seperti bilangan kerusi Umno.

Katanya, PKR hanya mencatatkan pencapaian tertinggi dengan 31 kerusi parlimen, DAP 38 manakala PAS 23.

Beliau seterusnya mempersalahkan parti-parti komponen BN yang gagal menyumbangkan kerusi dan bertegas bahawa orang Melayu masih mempercayai Umno.

"Saya cukup yakin dengan kepimpinan baru ini, hala tuju baru serta semangat baru Umno dari peringkat tertinggi hingga ke cawangan akan bangkit kembali.

"Lebih-lebih lagi orang Melayu sudah mula meragui kemampuan kerajaan hari ini menjaga kepentingan dan hak orang Melayu dan Islam," katanya.

Beliau berkata, beberapa keputusan kerajaan Pakatan harapan jelas menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam selain gagal menjaga ekonomi masyarakat Melayu luar bandar yang akan memperkukuhkan kepercayaan bahawa Umno sahaja yang mampu menjamin kesejahteraan hidup mereka.

"Jadi tidak ada sebab kenapa Umno akan berkubur," katanya sambil menambah kegagalan HARAPAN menunaikan manifesto 100 hari sangat mengecewakan rakyat.

Menurutnya, banyak pihak yang mengundi mereka atas harapan akan tertunai impian yang mereka janjikan.
"Sehingga hari ini kerajaan masih berdolak-dalih dengan janji mereka malah dengan kenyataan-kenyataan lucu dari menteri-menteri mereka menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan hari ini.

"Rakyat sedang membandingkan polisi-polisi kerajaan BN yang lepas yang sangat mesra rakyat berpendapatan rendah.
"Mereka sudah merasai kehilangan sentuhan Umno dan mahu Umno kembali. Jadi siapakah yang akan runtuh," soal beliau.

Rabu lalu, Dr Mahathir semasa mesyuarat dengan anggota Majlis Mengenai Hubungan Luar Amerika Syarikat berkata, ramai anggota Umno mengambil keputusan meninggalkan parti itu kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Umno kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk Umno kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan Umno," katanya.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

UMNO tak bersalah




KUALA LUMPUR 27 Sept. - UMNO yang ditubuhkan 72 tahun dahulu tidak pernah bersalah sebaliknya parti itu hanyalah sebuah wadah perjuangan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, ideologi yang dibawa oleh parti itu amat jelas berakar pada pemimpin pengasas.

"Mereka ingin bawa tanah Malaya ke persada dunia, mereka ingin lepas daripada sangkar penjajah, biar terbang bebas mencorak acuan sendiri. Idealisme mereka jelas, semarak semangat nasionalisme dan hidup harmoni berbilang bangsa.

"Pemimpin hari ini perlu sedar, muhasabah perlu hadir dalam diri sendiri. Bertindaklah untuk parti bukan untuk kepentingan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, Perhimpunan Agung UMNO 2018 kali ini disifatkan bersejarah kerana buat pertama kali ahli UMNO berhimpun ketika parti itu tidak lagi memegang tampuk pemerintahan.

"Bukan lagi Pak Menteri memberi ucapan malah yang hadir adalah pejuang yang masih yakin kepada wadah parti itu. UMNO sudah sebati dalam darah mereka. Perwakilan dan ahli yang hadir pasti tertunggu-tunggu apa yang hendak dijamu. Santapan minda perkasa gerakan, kedatangan mereka dari seluruh negara, perwakilan dari semua bahagian UMNO, dipilih oleh 22,000 cawangan.

"Apakah hala tuju dan pandangan ke hadapan untuk kelangsungan perjuangan UMNO? Apa perlu kita sama-sama laksanakan? Sudah pasti itu tajuk besar intipati himpunan kali ini. Pembentukan tetapan minda yang baharu dan bersih, biar terjemahan disebar luas ke akar umbi," katanya.

Selain itu, Fairuz berkata, sudah jelas UMNO memerlukan drama baharu pada perhimpunan kali ini.

"Hikayat lama wajib dianalisa, menjadi pedoman hala tuju baharu. Wadah yang ada perlu disesuaikan serasi dengan persekitaran semasa. Persekitaran sepantas kilat, maklumat di hujung jari.

"Wadah UMNO 4.0 perlu diwujudkan. UMNO perlu kelebihan kompetitif untuk terus relevan, terus perkasa untuk generasi penerus. Terus yakin bangkit untuk anak cucu. Wadah utama membentuk Malaysia melayar bahtera bangsa muafakat," katanya. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Baru jadi pembangkang 4 bulan sudah lari, sindir Zahid



(Malaysiakini) Mereka yang meninggalkan Umno ketika parti itu sedang dalam kepayahan tidak mempunyai daya tahan dalam berjuang, kata Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi.

Sebaliknya, kata Zahid, mereka hanya menyertai parti untuk jawatan dan manfaat.

Dalam sesi Facebook Live dengan Umno Online hari ini, Zahid turut menyindir pemimpin Umno yang pernah berjanji untuk berjuang "sehingga ke titisan darah terakhir".

"Sebelum ini mereka ada jawatan dan ditawarkan pelbagai kelebihan. Kini selepas (Umno) kalah, mereka tidak cakap tentang kelemahan mereka sendiri, mereka salahkan pimpinan parti.

"Kerajaan hari ini, sesetengah mereka pernah menjadi pembangkang selama 20 tahun, dan kini mereka berkuasa. Pemimpin mereka mempunyai daya tahan.

"Kita (Umno) adalah kerajaan menanti. Kita menjadi pembangkang bukan empat tahun, baru empat bulan. Daya tahan ini, kenapa terhakis terlalu cepat?

"Kalau dulu dalam Umno, mereka kata akan berjuang sehingga titisan darah terakhir. Tapi tidak satu titik darah pun yang jatuh, kenapa lari?" katanya.

Zahid menambah bahawa terdapat dua kategori orang dalam Umno.

"Kategori itu adalah 'orang Umno' dan 'ahli Umno'. Orang Umno tidak akan pernah tinggalkan parti walau apapun yang terjadi, namun ahli Umno akan meninggalkan parti mengikut jawatan dan manfaat yang diberikan kepada mereka," katanya tanpa menyebutkan nama tertentu.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

21 pertuduhan satu peluang DS Najib membersihkan nama



Sumber FB DS Najib

Khamis lalu, saya didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah akta AMLATFA serta 4 pertuduhan di bawah akta SPRM yang merupakan "predicate offence" untuk 21 pertuduhan itu.

Di bawah akta AMLAFTA ini, setiap pergerakan wang samada penerimaan, pembayaran atau pindahan dikira sebagai satu tuduhan.

Saya didakwa menerima dana, memulangkan dana kepada penghantar serta dua pertuduhan kerana memindah wang dari satu akaun saya kepada akaun saya yang lain.

Pendakwaraya juga meletakkan syarat-syarat ikat jamin bahawa, walaupun saya seorang ahli Parlimen, saya tidak dibenarkan untuk menganjur atau menghadiri apa-apa bentuk majlis awam ataupun membuat sebarang kenyataan termasuk di dalam laman media sosial saya dengan alasan saya boleh menpengaruhi pendapat umum.

Alhamdulillah, hakim menolak kedua-dua syarat ini dan saya dibebaskan dengan ikatjamin pada hari yang sama.

Tetapi dengan dakwaan ini di Mahkamah, peluang untuk saya mengulas dan menjelaskan mengenai isu 1MDB secara umum di luar mahkamah telah dihadkan.

Insya-Allah saya akan membersihkan nama saya tidak lama lagi di dalam mahkamah.

Dengan kehakiman negara yang adil dalam menegakkan kebenaran, saya amat yakin bahawa ini peluang terbaik untuk menghentikan isu RM2.6 bilion yang sudah berlarutan bertahun-tahun ini buat sekian kalinya dan untuk selama-lamanya.

Pewaris Melayu : Alhamdulillah, semoga keadilan ditegakkan untuk DS Najib dan harap mahkamah dapat bagi pengadilan yang adil. Kita tunggu dan lihat


Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .