Krisis dalaman dan perebutan kerusi antara parti-parti pakatan pembangkang semakin parah sehingga menyebabkan berlakunya pertembungan sesama sendiri pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.



Malah pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS turut berhadapan dengan pertelingkahan berpunca daripada ketiadaan sikap bersatu hati, tamak, serta keghairahan bertanding.

Tanpa memikirkan risiko serta masa depan, parti pembangkang yang selalu melaungkan kononnya mereka mempunyai persefahaman kukuh, perbalahan berterusan ini sudah pasti akan menjejaskan jumlah undi serta peluang untuk menawan kerusi yang ditandingi.

Laporan media mengenai konflik di kalangan parti komponen pakatan pembangkang sememangnya tidak dapat disangkal lagi oleh pimpinan-pimpinan mereka, sekali gus menggambarkan kesemua ahli pakatan pembangkang bersifat gila kuasa.

Pertembungan enam penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Selangor, melibatkan calon BN Halimathon Saadiah Bohan, dan dua calon pakatan pembangkang iaitu calon PKR Dr Mohd Nasir Hashim dan Ridzuah Ismail (PAS), dan tiga calon Bebas.

Pada PRU12, Dr Mohd Nasir, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding atas tiket PKR mengalahkan calon BN Zein Isma Ismail dengan majoriti 1,075 undi.

Di Parlimen Labuan pula, berlaku pertembungan tiga penjuru di kerusi melibatkan calon muka baharu BN, Rosman Isli dan dua calon pakatan pembangkang iaitu calon PKR Tan Sri Ibrahim Menudin dan Hadnan Mohamad (PAS).

Sementara empat lagi DUN iaitu Panti (Johor); Sungai Acheh (Pulau Pinang); Bukit Besi dan Kota Putera (Terengganu), juga terlibat dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan dua parti pembangkang.

Di Panti, dua calon pembangkang bersaing sesama sendiri iaitu calon PAS Azlisham Azahar dan calon PKR Mohd Annuar Mohd Salleh, di samping calon BN Datuk Baderi Dasuki.

Di Sungai Acheh membabitkan calon PKR Badrul Hisham Shaharin dan calon PAS Mohd Yusni Mat Piah menentang calon BN Datuk Mahmud Zakaria, jelas menunjukkan kepincangan pakatan itu yang ramai melihat tidak mempunyai kredibiliti.

Keadaan yang sama dapat dilihat di DUN Bukit Besi, menyaksikan Roslan Ismail (PAS) dan Mohd Shamsul Mat Amin (PKR) bertarung dengan calon BN Roslee Daud, sementara kerusi DUN Kota Putera pula melihat pertandingan tiga penjuru antara Mohd Mahdi Musa (BN), Adam Mat Said (PAS) dan Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (PKR)