BERSATU tak mampu ganti UMNO


(BH) KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mampu menggantikan UMNO sebagai wadah utama orang Melayu dan Bumiputera walaupun tidak lagi menjadi kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata tindakan sejumlah pemimpin keluar daripada parti itu tidak bererti UMNO sudah lumpuh kerana penghijrahan itu tidak disertai bersama jumlah ahli yang ramai.

Katanya, UMNO dengan mudah dapat menggantikan kehilangan pemimpinnya yang keluar parti itu dengan pemimpin muda yang lebih baik, bertenaga dan bersemangat.

“Malah, kehilangan mereka juga tidak menyebabkan UMNO di kawasan berkenaan terbubar, sebaliknya apabila mereka bertindak meninggalkan parti ia dengan mudah diganti oleh pemimpin muda yang lebih baik, bertenaga dan bersemangat.


“Ini dengan sendirinya berlaku proses peralihan kuasa kepada generasi baru dan pembersihan parti secara semula jadi.

“Penghijrahan keluar sebahagian pemimpin dan ahli UMNO tidak membawa keluar bersama ideologi, falsafah dan prinsip perjuangan UMNO.

“Justeru, UMNO akan terus menjadi parti yang berjuang membela kepentingan Melayu, Bumiputera dan memelihara kepentingan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, UMNO yang mempunyai sistem pentadbiran sistematik dan pimpinan tersusun daripada peringkat Cawangan, Bahagian, negeri dan pusat, adalah jauh lebih baik berbanding BERSATU.

“Jauh berbeza di mana, tidak kedengaran pun mesyuarat cawangan atau bahagian BERSATU diadakan, hanya diadakan pada peringkat pusat saja,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu.

Shamsul Anuar turut meyakinkan PAS, yang juga sekutu UMNO dalam pembangkang, bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana situasi dialami parti keramat Melayu itu, sama seperti ketika sejumlah pemimpin PAS meninggalkan parti itu bagi menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Biarpun AMANAH wujud, namun PAS tetap kuat, maka biarpun beberapa wakil rakyat UMNO meninggalkan parti ini, kita yakin UMNO tetap seperti biasa.

“UMNO akan terus berperanan sebagaimana ideologi yang dipegangnya, malah akan terus menjadi juara membela kepentingan rakyat dan pastinya akan merampas kembali kerusi yang hilang,” katanya.

Posted in , , . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .