Kalau ada subsidi, mungkin RON95 RM1.50 seliter
KATA Tun Dr. Mahathir Mohamad dua hari lalu, Rafizi Ramli tahu apa akan berlaku pada masa depan, ramalan beliau pun tepat. Justeru apabila bekas Naib Presiden PKR itu kata harga minyak RON95 patut turun 20 sen seliter kalau kiraan dibuat secara mingguan, tak perlulah nak persoal lagi.
Andai masa depan pun boleh diramal dengan tepat seperti kata Perdana Menteri, apa sangat kira-kira harga minyak. Sebab itu, sejak hampir sedekad lalu, Rafizi seperti pakar rujuk minyak.
Ramai masih terngiang-ngiang harga petrol RON95 cuma RM1.50 seliter kalau Barisan Nasional (BN) tidak lagi jadi kerajaan. Kata-katanya beberapa tahun lalu masih segar dalam ingatan walaupun dihujahkan ia untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam diam, ternanti juga saat itu menjelma. Biarlah bagai pungguk rindukan bulan sekalipun, tidak salah untuk terus menunggu. Cumanya dalam tempoh untuk angka RM1.50 jadi kenyataan, kenderaan yang ada untuk bergerak tetap perlu diisi minyak. Berapa pun harga kena isi kecuali ada teknologi enjin yang boleh digerakkan dengan air paip.
Apa pun terima kasih Rafizi sebab menulis surat kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng minta harga minyak dikira secara mingguan seperti kaedah yang pernah digunakan pentadbiran sebelum ini yang lebih adil kepada rakyat dan mencerminkan harga semasa.
Kalau tidak kerana Rafizi menghebahkan ke satu dunia di Twitter tentang surat itu semalam, mungkin ramai tidak sedar yang harga sebenar petrol RON95 patutnya dua kupang lebih murah sejak tiga minggu lalu.
Sejak hari ini, rakyat tersedar yang mereka sebenarnya membayar harga minyak yang lebih tinggi daripada pasaran, malah di media sosial ada yang sinis membangkitkan rakyat membayar subsidi pada kerajaan.
Ini memang tidak patut berlaku, seperti kata surat Rafizi pada Guan Eng itu, kerajaan perlu pastikan ada subsidi untuk RON95. Jika tidak, tiada beza dengan formula penetapan harga minyak pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Justeru, mengambil kiraan Rafizi, R0N 95 pada 19 Disember lalu sepatutnya RM1.933 sen seliter. Terfikir juga, jika ada subsidi 40 sen seliter dapatlah angka RM1.53. Kalau 30 sen pun dah ok, RM1.63 seliter. Sudah hampir angka keramat itu, sama-samalah didoakan Guan Eng mendengar cakap Rafizi.
Kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) pula, janganlah marah dekat Rafizi kerana bersuara terbuka atau ada lagi surat kepada menteri yang dikongsi beliau di Twitter selepas ini. Ahli politik kalau senyap orang lupa. Nak buat kerja, tak ada jawatan kerajaan.
Begitu juga buat pemimpin parti yang hari ini sudah jadi pembangkang, jangan lupa rajin-rajinlah bersuara dan buat kerja-kerja macam ini. -UTUSAN ONLINE
RON95: Malu mengaku, senyap-senyap tibai - Najib
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Tindakan kerajaan mengenalkan harga RON95 pada RM2.20 sedangkan harga minyak mentah dunia meunjukkan trend menurun terus mengundang kritikan.
Terbaharu, bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak pula menyindir tindakan tersebut dan menyifatkan kerajaan malu untuk mengakui fakta tersebut.
Najib berkata, berdasarkan data terbaru hari ini, harga purata MOPS (Means of Platts) untuk petrol RON95 telah jatuh kepada AUD$0.519 satu liter pada akhir minggu lepas berbanding AUD$0.538 untuk minggu sebelum itu.
Jelas Najib, mengikut sistem mekanisme harga automatik (APM) seperti dilaksanakan oleh BN, harga RON95 sekarang sepatutnya RM1.86 satu liter.
"Ini juga bermakna rakyat sedang memberi subsidi minyak sebanyak 34 sen untuk setiap liter kepada kerajaan PH sempena cuti sekolah dan musim perayaan kini.
"Tetapi Menteri Kewangan kita masih malu untuk mengaku agar senang untuk senyap-senyap tibai. Selamat bercuti!" kata Najib dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini beberapa pihak termasuk pemimpin kerajaan iaitu bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu kerajaan menyemak harga petrol secara mingguan, sekali gus membolehkan harga RON95 turun sebanyak 20 sen seiring dengan kejatuhan harga minyak dunia.
Katanya, berdasarkan formula secara bulanan yang diguna pakai ketika ini, kiraan akan menunjukkan harga RON95 mengikut APM masih lagi tinggi daripada RM2.20 seliter.-UTUSAN ONLINE
Turunkan segera harga petrol, usah biar rakyat terus beri subsidi kepada kerajaan
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, langkah membiarkan rakyat terus memberi subsidi kepada dengan membayar RM2.20 seliter bagi bahan bakar itu jelas bertentangan dengan janji PH selama ini.
Sementelah, menurut beliau, sebahagian besar pengguna RON 95 adalah kumpulan B40 yang kini terbeban dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang turur gagal diatasi kerajaan.
“Sudah semestinya penurunan harga petrol RON 95, 97 dan diesel itu mampu memberi sedikit ruang untuk rakyat bernafas dengan lebih lega di sebalik tekanan ekonomi ketika ini.
“Lebih daripada itu, penurunan harga petrol itu juga selari dengan janji-janji PH selama ini dan mereka tidak boleh memberi pelbagai alasan lagi memandangkan harga minyak dunia semakin rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan negeri, rakyat masih ingat dengan jelas janji PH untuk menurunkan harga petrol kepada sehingga RM1.50 ketika pilihan raya umum dan menagihnya untuk dilaksanakan segera.
Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya menambah kekecewaan rakyat yang memberi kepercayaan kepada PH selepas mereka turut tertipu dengan pelbagai janji lain seperti pemansuhan tol dan sebagainya. - UTUSAN ONLINE