Roslan SMS
Ada seorang rakan wartawan memberitahu saya tidak adil Azmin Ali sebagai Timbalan mahu mengarahkan Anwar Ibrahim sebagai Presiden apa yang patut dan tidak patut dilakukan.
Beliau merujuk kepada perbalahan di dalam PKR hari ini antara kem Datuk Seri Anwar dan kem Datuk Seri Azmin.
Azmin tidak berpuas-hati dengan beberapa lantikkan yang dilakukan oleh Anwar antaranya meletakkan Rafizi yang tewas pada Azmin sebagai Naib Presiden dan Saifuddin Nasution yang banyak menyerang Azmin dan rakan-rakan semasa pemilihan PKR dulu kembali sebagai Setiausaha Agung.
Saya beritahu rakan tadi ia sesungguhnya proses biasa dalam amalan parti-parti politik di bawah sistem demokrasi. Azmin lantang bersuara kerana kem beliau menang banyak kerusi dalam pemilihan parti sebagaimana puak-puak “Erdogan parasit” dulu dalam PAS yang memberi banyak tekanan pada Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang sebagai Presiden.
(Yang tiada begini adalah DAP yang kuasa besar bertenggek atas kepala Setiausaha Agungnya. Parti yang kononnya demokratik tapi otokratik).
Namun dalam hal-hal tertentu kuasa Presiden parti punya prerogatif dan keutamaan. Presiden yang berkarisma boleh mengatasi tentangan dalaman sebagaimana Tuan Guru dulu sehinggalah terlentang kumpulan pengacau dalam PAS pada pemilihan parti kemudiannya.
Tidaklah dapat dipastikan samada Anwar memiliki kuasa yang sama. Beliau sendiri sebenarnya berhadapan dengan pelbagai masalah dan tekanan.
Disatu pihak beliau berhadapan dengan tentangan kem Azmin yang cuba digambarkannya sebagai pelampau dan pengkhianat. Disatu pihak lain pula beliau mula gelisah samada jawatan PM yang dijanjikan kepadanya setelah 2 tahun PRU ke 14 benar-benar akan diserahlan kepadanya oleh Tun ataupun tidak.
Hangat hari ini tuntutan agar Tun kekal PM hingga ke hujung penggal. Dan sudah mula muncul kiaah-kisah lama yang baru kononnya yang tidak melayakkan Anwar sebagai PM.
Saya beritahu rakan tadi jika 2018 sejarah tercipta apabila PH menumbangkan BN 2019 pula dijangka lebih sensasi.
Berjayakah Anwar menjinakkan Azmin atau Azmin pula nanti menerkam beliau. Sudah ada suara-suara mengatakan lebih baik Tun angkat sahaja Azmin sebagai TPM.
Kita menantikannya dalam 2019.
Juga akan berulangkah langkah menafikan Anwar sebagai PM sebagaimana dahulu? Dari jawatan TPM iaitu selangkah sahaja ke kerusi PM beliau dipecat dan berakhir di penjara. Akan berulangkah kisah-kisah silam beliau versi baru sebagaimana dibangkitkan sesetengah pihak kebelakangan ini?
Sedang Anwar dan Azmin berbalah dan Tun pula masih sebagai PM sama-samalah kita nantika selanjutnya 2019 ini.
Pasti lebih sensasi dati 2018. Selamat tahun baru.