(Berita Harian) KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, kekal dengan pendirian menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kerajaan Persekutuan, selagi matlamat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut menyatakan beliau tiada halangan jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahu melebarkan sayap ke Sabah selari dengan amalan demokrasi.
“Saya akan tetap menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan selama mana matlamat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 ditunaikan,” katanya dalam kenyataan media berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Kuala Lumpur pada 1 Mac lalu.
Anifah berkata, intipati utama pertemuan itu adalah perbincangan mengenai MA63 termasuk persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah mengikut MA63 yang menjadi asas penubuhan Malaysia.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan apa yang sudah dijanjikan kepada rakyat Sabah termasuk berkaitan usaha mengembalikan hak negeri ini dan pembayaran royalti petroleum yang dituntut kerajaan Sabah.
“Secara konsisten saya menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya melaksanakan apa yang dijanjikan termasuk mengembalikan hak-hak negeri Sabah, antaranya pembayaran royalti petroleum,” katanya.
Anifah adalah antara enam Ahli Parlimen UMNO Sabah yang meninggalkan UMNO pada tahun lalu, namun beliau tidak menyatakan sokongan terhadap mana-mana parti, manakala yang lain berhasrat menyertai BERSATU apabila parti itu melebarkan sayap ke Sabah.
Pertemuan dengan Dr Mahathir itu diadakan pada hari sama prosiding pengurusan kes petisyen pilihan raya Parlimen Kimanis di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menetapkan perbicaraan bagi petisyen berkenaan bermula pada 8 April depan.
Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada bulan lalu yang memerintahkan Mahkamah Tinggi untuk membicarakan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Kimanis yang difailkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.