MT Editorial Team
‘Ketuanan Melayu’ lebih sesuai disebut ‘kedaulatan Melayu’ kerana ia mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara ‘tuan’ dan ‘hamba’, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
“Ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu,” titah Baginda. Menurut Baginda, apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya, iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.
Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya, titah baginda. Sultan Ibrahim membangkitkan soal mengenai ‘Ketuanan Melayu’ kerana masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan dan menyalahtafsir maksudnya yang sebenar.
