KUALA LUMPUR 17 Mei - Malaysia mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, lebih rendah berbanding 5.6 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, perkembangan ekonomi negara didorong oleh aktiviti sektor swasta yang berterusan iaitu 5.2 peratus dan pertumbuhan eksport bersih yang kukuh pada 62.4 peratus.
Katanya, pertumbuhan dijangka terus menggalakkan tahun ini dengan permintaan dalam negeri terus menjadi pemacu utama pertumbuhan yang berkembang sederhana pada 4.1 peratus manakala penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.9 peratus.
"Inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata dua hingga tiga peratus tahun ini disebabkan oleh faktor kos global yang lebih kecil dan kadar pertukaran ringgit yang kukuh berbanding 2017. Namun, inflasi menurun pada suku pertama tahun ini kepada 1.8 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku keempat 2017.
"Kadar inflasi yang rendah ini mencerminkan sumbangan harga bahan api domestik yang lebih kecil terhadap inflasi keseluruhan. Meskipun harga minyak dunia lebih tinggi pada suku tersebut tetapi kesannya diimbangi oleh kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh," katanya dalam sidang akhbar mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2018 di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 5.5 hingga enam peratus. Malaysia mencatat pertumbuhan yang baik pada 2017 dengan suku pertama pada 5.6 peratus diikuti suku kedua, 5.8 peratus, suku ketiga 6.2 peratus dan suku keempat, 5.9 peratus menjadikan KDNK keseluruhan 5.9 peratus.
Pada suku pertama 2018, eksport ka-
sar berkembang 5.8 peratus disokong terutamanya oleh eksport perkilangan yang menyaksikan lebihan dagangan meningkat kepada RM33.4 bilion. Import kasar pula menurun 0.8 peratus pada suku berkenaan.
Keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur walaupun ketidaktentuan meningkat ekoran perkembangan di luar negeri. Akaun kewangan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM15.2 bilion disokong aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) secara berterusan.
Hutang luar negeri juga kekal terurus yang berjumlah RM893.4 bilion atau 61.8 peratus daripada KDNK setakat akhir Mac 2018. Didapati 34.8 peratus daripada jumlah hutang luar negeri adalah dalam ringgit manakala selebihnya dalam dominasi mata wang asing.
Mengenai prestasi ringgit, Muhammad berkata, mata wang itu terus menambah nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang serantau disebabkan oleh pengukuhan sejak 2017.
"Bagaimanapun, masih terdapat risiko yang akan mengehadkan pergerakan ringgit terutama dengan jangkaan langkah pelarasan Dasar Monetari AS yang lebih cepat, perkembangan geopolitik global yang semakin buruk dan ketegangan perdagangan yang memuncak antara AS dan China," katanya.
Beliau berkata, tindakan perdagangan AS dan China sekiranya dilaksanakan akan memberi impak terhadap pros-
pek pertumbuhan Malaysia tetapi secara keseluruhannya, ia bergantung kepada beberapa faktor seperti produk yang dikenakan tarif, dedahan Malaysia kepada segmen produk berkenaan dan tempoh pelaksanaan.
Bagi hutang isi rumah pula, katanya ia meningkat pada kadar tahunan 5.2 peratus disebabkan oleh pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman terutama rumah berharga antara RM500,000 dan RM750,000.- UTUSAN