Mat Sabu berdepan tuntutan muflis

PULAU PINANG 12 Feb. – Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berdepan dengan tuntutan muflis selepas gagal melunaskan ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan berhubung isu 'Projek IC' di Sabah.


MOHAMAD SABU

Peguam Wan Ahmad, Noor Hazira Abu Haiyan seperti dilaporkan media berkata, pihaknya memfailkan petisyen pemiutang terhadap Mat Sabu di Mahkamah Tinggi di sini semalam, untuk mendapatkan semula ganti rugi itu beserta faedah.


Menurut beliau, mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan kes tersebut.


"Notis kebankrapan telah pun diberikan kepada Mat Sabu pada 3 Februari lalu, tetapi pemimpin pembangkang itu tidak mematuhinya," katanya.


Pada 20 Mac 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mat Sabu yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden Pas dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Wan Ahmad kerana kesalahan memfitnah.


Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong ketika membenarkan saman Wan Ahmad, memutuskan plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Mat Sabu dan Mustafa selaku defendan.


Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Wan Ahmad.


Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wan Ahmad terhadap pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sd. Bhd.; Ketua Pengarang akhbar itu, Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel, Aziz Muda.


Terdahulu pada 5 Mac 2013, Wan Ahmad memfailkan saman dengan mendakwa Mat Sabu mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk Wan Ahmad Tidak Boleh Dipercayai dan Ragu Peranan SPR - Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan dalam Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas ditemu ramah pada 29 Januari 2013.


Dalam penyataan tuntutannya, Wan Ahmad mendakwa defendan mengeluarkan perkataan fitnah bahawa beliau tidak boleh dipercayai kononnya kerana terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam 'Projek IC' di Sabah.


Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Polis mula siasat Dr. Mahathir

PULAU PINANG 15 Feb. - Polis akan memulakan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung tulisan di laman blognya yang didakwa mengandungi unsur hasutan.


Dalam masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengesahkan terdapat laporan polis dibuat selepas tulisan bertajuk 'Malaysia's Shame' (Memalukan Malaysia) itu di­siarkan pada 5 Februari lalu.


Katanya, laporan berkenaan diterima tiga hari lalu dan polis akan bertindak mengikut prosedur.


"Kita tidak boleh beremosi dalam mengambil tindakan seperti mahu segera menahan individu tertentu kerana setiap siasatan memerlukan prosedur dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negeri baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Pelantikan baharu itu menyaksikan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rajab menggantikan Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi yang bertukar ke Perak sebagai Ketua Polis Negeri.


Khalid sebelum ini meminta pihak yang beranggapan tulisan Dr. Mahathir mengandungi perkataan menghasut supaya tampil membuat laporan polis supaya siasatan menyeluruh dapat dilakukan pihaknya.


Menerusi tulisan berkenaan, Dr. Mahathir antara lain mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kredibiliti dalam kes siasatan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Mengulas lanjut, Kha­lid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan peja­bat Peguam Negara berhubung perkara itu tindakan susulan akan diambil dan sekiranya laporan berkenaan mempunyai asas.


Sementara itu, Khalid memberi jaminan keselamatan negara tidak tergugat susulan kesediaan kerajaan membawa masuk seramai 1.5 juta warga Bangladesh ke dalam sektor pekerjaan di negara ini.


Katanya, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk melakukan saringan ketat bagi memastikan warga asing yang masuk itu merupakan pekerja tulen dan mematuhi undang-undang negara.


Sementara itu, Kha­lid berkata, beliau me­ngarahkan polis Kedah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dipukul anggotanya.


Khalid berkata, tiada anggota yang akan dilindungi sekiranya terbukti mereka mela­kukan kesalahan dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika bertugas.


"Saya telah mengarahkan siasatan rapi dilakukan dan itu merupakan prosedur polis yang kita laksana­kan selama ini," katanya. - UTUSAN



Leave a comment
Jom komen di Facebook!

KENYATAAN AKHBAR SAIFUL BUKHARI AZLAN - 10HB FEB 2016

SETAHUN BERLALU

Assalammualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini genap setahun perbicaraan kes saya berakhir.

Izinkan saya ulas beberapa perkara.

Dalam masa setahun ini, saya ambil maklum dengan gerakan/kempen oleh keluarga, penyokong dan pihak-pihak tertentu untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara. Namun saya mengambil pendekatan untuk tidak memberi reaksi, saya biarkan sahaja.

Saman fitnah dan tuntutan sebanyak RM50 juta yang difailkan beberapa tahun lalu pun saya hentikan. Selain dari faktor kos guaman, saya mengambil kira dari segi faktor kemanusiaan. Kerana pada hemat saya, sudah cukup buat saya apabila aduan saya telah diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan beliau pun telah dijatuhi hukuman. Saya mahu terus ke hadapan, tutup buku.

Namun, hari demi hari, saya lihat mereka ini semakin keterlaluan. Mereka bebas mengelirukan dan melakukan penipuan terhadap fakta kes saya.

Antara penipuan dan 'spin' yang mereka lakukan adalah seperti "Tuduhan Palsu", "Tahanan Politik", perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya.

Penipuan yang dilakukan ini bukan sahaja pada rakyat Malaysia, malah pada dunia. Amat malang lagi, tanpa rasa bersalah atau malu, penipuan ini disalurkan pada Negara-Kerajaan di luar negara, Individu-Individu Berpengaruh, Badan-Badan Dunia sehingga ada mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi "Derma Jutaan Dollar" untuk kempen pembebasan AI, juga tekanan pada Kerajaan untuk membebaskan beliau.

Justeru, ingin saya nasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan, hentikanlah penipuan ini. Cukup-cukuplah berdusta. Dari tahun 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takut lah pada Allah SWT. Kasihanilah pada mereka yang kamu tipu itu.

Pada pihak-pihak diluar yang mempercayai, terutama pada Negara-Negara dan Badan-Badan Antarabangsa, ingin saya maklumkan disini bahawa beliau bukan "Tahanan Politik", sebaliknya adalah "Tahanan JENAYAH". Tidak ada kena juga mengena dengan penindasan Demokrasi. Juga, hentikanlah memberi dana dan sokongan, kerana ia dusta belaka.

Beliau telah didakwa atas kesalahan jenayah, dibicara dan di adili oleh sejumlah 9 orang Hakim ( 1- Mahkamah Tinggi, 3 - Rayuan, 5 - Persekutuan) ,  di mana perbicaraan telah mengambil masa yang lama, lebih kurang 7 tahun.

Saya juga ambil maklum bahawa rata-rata mereka ini beri tekanan dari sudut "Human Rights". Namun bagaimana pula dengan saya? Saya adalah pengadu dan mangsa dalam kes ini. Adakah saya ini bukan "human"/manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh Badan-Badan "Human Rights"?

Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh,  berduit kaya raya.

Dan bukannya org kecil seperti saya ini,  tak kaya, tak ada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?

Apapun syukur selama ini saya ada Allah SWT. Dialah tempat saya berdoa, bergantung dan memohon bantuan.

8 tahun dulu, dari mula saya membuat laporan Polis hinggalah ke saat ini, apa yang saya mahukan sebagai pengadu adalah aduan saya sepertimana dalam laporan polis mengenai perlakuan Anwar Ibrahim terhadap saya disiasat dan diadili, tidak lebih dari itu. Tidak sesekali saya berasa kesal.

Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, setahun sudah berlalu. Semoga sihat dan tenang disana. Gunakanlah tempoh muhasabah ini sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun bagi hambanya yang benar-benar insaf. Sebagai bekas majikan, saya doakan yang terbaik.

Terus kehadapan, istiqamah dan sabar.

SAIFUL BUKHARI AZLAN
10hb FEB 2016

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Rafizi! cukup-cukuplah…

KALAULAH tidak berwaspada dengan putar belit pembangkang, nescaya kerajaan pasti 'terjerat', sebelum terkulai hilang kuasa.

Rafizi Ramli

Trend spin atau putar belit yang dilakukan pakatan pembangkang semakin menular dalam setahun dua ini sehingga mencemaskan dan mengelirukan banyak pihak. Dijangkakan kian agresif dalam dua tahun mendatang ini.


Banyak sudah kes spin sebegini. Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Tian Chua, malah Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering yang juga bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin apabila kena saman, sekadar ungkapkan permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Barang kali dia menyesal? Tak tahulah.

Tambah menghairankan lagi, Rafizi terutamanya apabila diheret ke mahkamah dan disoal peguam, barulah bersuara bahawa kenyataannya mengenai isu 'lincin' hanyalah jenakanya atau berseloroh.


Patutkah begitu? Kebiasaannya apabila kedudukan perkara sebenar diperjelaskan, tidak akan ada sebarang maklum balas daripada pembangkang. Kalau adapun, menafikan jauh sekali. Mahu 'ditokok tambah' lagi ada.


Malangnya, putar belit itu 'melekat' bagaikan gam dalam fikiran sebilangan orang. Damage has been done.


Kita rakyat Malaysia pastinya masih segar dengan isu dakwaan Pe­nasihat PKR, Anwar Ibrahim pada kempen pilihan raya umum lalu bahawa warga Bangladesh ko­nonnya dijadikan 'pengundi hantu'. Tetapi sehingga kini tiada langsung permohonan maafnya. Terbukti bohong semata-mata.


Sandiwara pembohongan 16 September 2008, masih ingatkah? Ketika itu ada kalangan wakil pembangkang sendiri telah dibohongi kononnya sejumlah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan me­lompat sudah lebih daripada mencukupi.


Yang di-Pertuan Agong pula dikatakan kononnya sedang menunggu di Istana untuk mendapat pengesahan jumlah ahli Parlimen BN yang akan melompat dan memberi perkenan Tuanku untuk pakatan rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan. Malah baginda dikatakan sudah berkenan dan merestui 'YB Permatang Pauh' sebagai Perdana Menteri keenam. Dikatakan nombor plat kereta pun sudah ditukar menjadi WMK 6.


Rakyat digula-gulakan manakala wakil rakyat pembangkang disogok cerita kononnya Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ATM juga memberikan sokongan pembentukan Kerajaan Persekutuan oleh pakatan rakyat.


Ada bertanyakan penulis, Rafizi ini 'gempak dan gertaknya' sahaja yang lebih.

Jika dipulangkan kembali paku buah keras, mampu pula dia 'pu­sing' balik 360 darjah terhadap para pengkritiknya.


Terbaharu, Rafizi sedang berdepan dengan persoalan yang dibangkitkan ramai terutama netizen bahawa mengapa dia masih memiliki simpanan hampir RM500,000 dalam akaun Tabung Haji? Sedangkan dia sendiri 'amat percaya' institusi itu sudah rugi sejak 2014, rizabnya negatif dan tidak mampu bayar dividen. Adakah dia sedang menikmati bonus yang baru diumumkan?


Ini perlu dijawab oleh Rafizi.


Hakikatnya, berhadapan de­ngan kebenaran bagi pembangkang sesuatu yang menyakitkan. The truth hurts.


Kerana itu kita dapat melihat reaksi mereka terhadap segala program yang dijayakan kerajaan bagaikan tindak balas chimpanzee dalam sarkas kerana kebenaran itu telah 'menusuk' mereka.


Rafizi!, kamu cukup-cukuplah.


Sumber : Utusan

2 Comments
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .