Pas : Mahathir, jauhkan diri daripada DAP

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pas menyeru Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad agar menjauhi DAP jika mahu menjalinkan kerjasama dengan parti Islam itu.


Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, sikap DAP dan pihak-pihak lain yang anti kepada sistem pemerintahan Islam yang dianjurkan oleh Pas hanya akan membantutkan ruang untuk kedua-dua parti itu bekerjasama.


Jelasnya, perkara sebegitu yang telah mensabotaj usaha untuk menjalinkan hubungan antara Pas dan PPBM.


"Ketika Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha untuk mewujudkan jalinan tersebut, Dr. Mahathir pula terus masuk ke perangkap DAP yang beliau sendiri sebut sebelum ini sebagai golongan chauvinis dan anti-Islam. "Usaha untuk mendaulatkan Islam sebagai penyelesaian sebenar kepada kemelut yang dihadapi negara termasuk krisis integriti, tidak mungkin digembleng sekiranya DAP terlibat sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Dr. Mohd. Zuhdi membuat kenyataan itu selepas Dr. Mahathir semalam menuduhnya sebagai antara pemimpin Pas yang cuba menggagalkan kerjasama antara Pas dan PPBM. 


Dalam satu temu bual bersama akhbar Singapura, The Sunday Times baru-baru ini, Dr. Mahathir dilaporkan memilih untuk melupakan pakatan dengan Pas apabila parti pimpinannya mahu mengutamakan kerjasama de­ngan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia menutup pintu run­dingan dengan Pas ekoran keengganan parti tersebut bekerjasama dengan parti-parti sekutu PPBM dalam pakatan pembangkang yang diketuai DAP. 


Bagaimanapun, beliau selepas itu membuat pusingan U pula apabila menyatakan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan belum berakhir. Menurut Mohd. Zuhdi, pimpinan Pas dan ahlinya bersedia memaafkan sesiapa sahaja termasuk Dr. Mahathir, meskipun Pas adalah antara pihak yang paling tertekan daripada tindak-tanduk Dr. Mahathir semasa beliau berkuasa. 


"Perisytiharan darurat Kelantan, tragedi Memali, penentangan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, pemansuhan royalti petroleum Terengganu dan pemansuhan ge­ran sekolah agama rakyat (SAR) adalah antara tindak tanduk Dr. Mahathir yang cukup menekan Pas. "Bagaimanapun, pimpinan dan ahli Pas diyakini bersedia memaafkan sesiapa sahaja yang bersedia untuk membetulkan kesilapannya dan membela semula mereka yang dizalimi oleh tindak-tanduk tersebut," jelasnya. - UTUSAN

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .