Almarhum Tunku Abdul Rahman 'makan hati’ kerenah Dr. Mahathir


MUKADIMAH

SEJAK dahulu lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad penuh dengan kerenah dan sikapnya yang kontroversi serta sukar dikawal sesiapa.

Gelagat bekas Perdana Menteri itu seolah-olah suatu seni politik 'sapu sahaja, janji boleh'- yang setara dengan inti pemikiran politik Machiavelli yang berteraskan kekuasaan.

Ikuti babak-babak yang pernah dicetuskan Dr. Mahathir semasa beliau berurusan dalam parti dan kerajaan dalam 10 siri yang dilaporkan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL.

SESIAPA pun elok merenung kembali sejarah dan mengambil iktibarnya.

Politik 'pusingan U' atau u-turn Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad amat menyedihkan. Dalam usia menjengah 92 tahun, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah dicanai dengan pui­sinya yang amat dingati - Melayu Mudah Lupa.

Beliau kini menjalin hubungan dengan pengasas dan pengendali Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang mengganggu gugat kestabilan negara.

Bukan itu sahaja, sanggup pula bersekongkol kembali dengan penyangak matawang, George So­ros yang menaja himpunan jalanan haram, Bersih 5.0.
Dahulu menyelar Penasihat DAP, Lim Kit Siang orang nombor satu paling rasis di Malaysia tetapi kini boleh berdakap dan duduk semeja.

Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sama sahaja seperti yang pernah dilakukannya terhadap bapa Kemerdekaan Negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman (Tunku).

Orang Melayu dan rakyat negara ini tidak pernah lupa bahawa semua Perdana Menteri yang lain pernah 'dibuli' oleh Dr. Mahathir melainkan Tun Abdul Razak.
Selepas Persekutuan Tanah Melayu menikmati kemerdekaan pada 1957, Dr. Mahathir terlibat sama aktif dalam politik, namun beliau tiba tiba menyepikan diri dari politik.

Ada pihak menyatakan beliau merajuk pada waktu itu kerana membantah tindakan Tunku untuk mengadakan perjanjian pertahanan dengan British dan mengekalkan tentera British selepas merdeka.

Namun, apabila diteliti semula rupanya Dr. Mahathir bukanlah tidak berpuas hati dengan pangkalan tentera British tetapi kerana masalah dalamannya sendiri dengan Tunku.

Krisis hubungan antara Tunku dan Dr. Mahathir yang sebelum ini menjadi rahsia umum telah terdedah begitu meluas apabila surat yang ditulis Dr. Mahathr kepada Tunku tersebar luas dalam kalangan rakyat. Sebelum itu, di permulaannya nampak agak tenang namun disebaliknya sedang mengalir air yang keras, deras dan bergejolak.

Surat Dr. Mahathir itu menyentuh berkenaan sikap Tunku Abdul Rahman dalam menghadapi peristiwa 13 Mei dan juga cara Tunku menjalankan pemerintahan negara.

Bagi Tunku sendiri, surat Dr. Mahathir kepadanya yang tersebar luas di seluruh negara telah memusnahkan seluruh pengorbanannya terhadap bangsa dan negara sejak 17 tahun lalu.

Ini mendorong Tunku untuk memberi kata dua kepada UMNO iaitu, pilih "saya atau Dr. Mahathir".

Kata dua itu disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tun Abdul Razak ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Si Taman pada 12 Julai 1969. Menteri Besar Selangor Harun Idris waktu itu berkata: "Kalau begitu buat apa panggil mesyuarat ini, buang sahajalah Dr. Mahathir".

Pandangan ini disokong oleh Ketua Kaum Ibu UMNO iaitu Tan Sri Fatimah Hashim dan juga Pengerusi Pemuda UMNO Negeri Kedah, Syed Nahar Shahabuddin.

Mesyuarat MT ketika itu turut dihadiri oleh Dr. Mahathir sendiri tetapi beliau mengundurkan diri apabila isu mengenainya dibincangkan.

MT mengambil keputusan memecat Dr. Mahathir pada 12 Julai 1969. Sehari selepas pemecatannya, kerajaan telah mengambil tindakan mengharamkan surat Dr. Mahathir kepada Perdana Menteri.

Sesiapa yang memiliknya boleh dikenakan penjara satu tahun atau denda $1,000 atau ke­dua-duanya sekali. Mereka yang didapati menerbit, mencetak atau menyebarkannya pula akan dihukum penjara 3 tahun, atau denda $2,000 atau kedua-duanya sekali.

Setelah mendapati barisan kepimpinan parti yang menyokongnya berserta tindakan negara terhadap surat Dr. Mahathir, barulah Tunku mencu­rahkan perasaan marahnya kepada Dr. Mahathir.

Dalam akhbar Mingguan Malaysia, 20 Julai 1969, Tunku berkata, surat Dr Mahathir "telah memusnahkan seluruh pengorbanan saya terhadap negara dan bangsa yang saya lakukan sejak 17 tahun lalu."

Menurutnya, surat itu telah menyebabkan berlakuknya tunjuk-tunjuk perasaan menentang beliau di Universiti Malaya, kolej Islam dan Institut Teknologi Mara. Katanya: "Amat menyedihkan sekali sekeping surat yang memerlukan masa 10 minit menulisnya telah memusnahkan khid­mat saya selama 17 tahun".

Penyiaran berita temubual Tunku di Mingguan Malaysia (wartawan yang terlibat adalah Zainuddin Maidin, kini penyo­kong kuat Dr. Mahathir menentang Najib) mendapat bantahan orang ramai.

Malah Zainuddin sendiri memberitahu, beliau mendapat beberapa panggilan dari orang tak dikenali yang membantah penyiaran berita mengenai Tunku yang disifatkan sebagai cubaan me­nimbulkan simpati orang ramai.

Perkara ini menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap Tu­nku.

Setelah dipecat selama 21 bulan, Dr. Mahathir berceramah mengecam UMNO di pentas Pas.

Beliau juga mempertikaikan pemimpin UMNO sebagai tidak membela orang Melayu di atas pentas ceramah Pas (Business Times, 19 Jun 1995).

Pada 1982, ketika Tunku masih hidup, beliau dikatakan tergores hati dengan Dr. Mahathir apabila bangunan Carcosa Negara yang telah dihadiahkan oleh Tunku kepada British diambil balik oleh Dr. Mahathir.

Dalam tulisannya di akhbar The Star, 26 Mei 1984, Tunku mengangap tuntutan itu sebagai suatu usaha untuk melupakan jasa jasanya. Menurut Tunku, suatu ketika dahulu beliau dituduh menjual negara kepada orang Cina, pada waktu itu pula beliau dituduh seolah-olah telah menjual negara kepada British.

Semasa pemerintahan Dr. Mahathir, Tunku mengkritik ba­nyak tindakan Dr. Mahathir yang disifatkan sebagai membebankan rakyat. Ketika itu, isu-isu sama sahaja dibangkitkan - negara ba­kal muflis, kos sara hidup tinggi, rasuah, dan kronisme.

Malah lebih teruk pada masa itu, Ketua Hakim Negara dan Lima Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipecat. Walaupun Dr. Mahathir mendakwa ia bukan keputusan eksekutif, namun akhirnya pada 2008, kerajaan telah membayar ex gratia kepada keenam hakim ini.

Antara kata-kata Almarhum Tunku ketika itu:

"There is no law, no justice, no freedom of speech. Anybody who speaks out goes to prison. So he has got all the members of the opposition in prison… This is what worries me and all the responsible citizens of this country, no matter what race they come from. We are all worried.

Sebesar mana jasa Dr. Mahathir pun tidak sama dengan jasa Tunku. Almarhum mengorbankan harta, takhta dan segala-galanya untuk kemerdekaan negara.

Tidak seorang anak Tunku pun menjadi bilionair atau jutawan seperti mana anak-anak Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir tidak sepatutnya kecewa apabila ramai pemimpin dan ahli UMNO marah kepadanya kerana bekerjasama dengan Kit Siang, Brown dan Soros untuk menumbangkan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ini kerana itulah budaya yang beliau ajar kepada ahli UMNO sejak dahulu supaya mengutamakan parti, negara dan rakyat daripada kepentingan diri.


Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .