KUALA LUMPUR 9 Mac - Pas menyifatkan pakatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kerja sia-sia.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menegaskan perkara itu berkata, setiap tindakan yang mahu dilakukan perlu munasabah dan tidak boleh dilaksanakan secara gopoh.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Marang itu berkata, sebarang perubahan kerajaan perlu dilakukan secara demokrasi sama ada melalui pilihan raya atau undi tidak percaya.
"Saya sudah membuat kenyataan awal ada tempat yang kita bersetuju dan ada perkara kita tidak bersetuju. Kita bersetuju perubahan hendak dilakukan tetapi tidak bersetuju (dibuat secara) gopoh.
"(Kalau) hendak buat undi tidak percaya pula mestilah majoriti di Parlimen, mesti orang UMNO sendiri (bersama). Kalau UMNO tidak ubah, kita sahaja 14 kerusi ini nak ubah, nak buat apa?
"(Oleh itu, pakatan) itu sia-sia (kerana setiap tindakan) mesti ada munasabahnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Jumaat lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 58 orang yang menandatangani deklarasi bagi menyokong penyingkiran Najib.
Acara menandatangani deklarasi itu yang diketuai Dr. Mahathir, turut disertai Lim Kit Siang daripada DAP; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR) dan bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pemimpin-pemimpin parti itu juga tidak ada kata sepakat atau sebulat suara berhubung deklarasi tersebut memandangkan ada antara pemimpin mereka turut hadir dalam majlis deklarasi itu.
Katanya, kepemimpinan parti itu juga belum memutuskan sama ada mahu mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu atau sebaliknya.
"Ada perkara kita mesyuarat, ada perkara yang perlu kepada pandangan kepemimpinan parti, bukan semua perkara nak mesyuarat.