Jangan pertikai kesetiaan saya - Tan Sri Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Aziz Kaprawi yang mempersoalkan kesetiaannya terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu Forest City.

Beliau berkata, isu itu tidak melibatkan kesetiaan, sebaliknya berkaitan kedaulatan dan soal prinsip.

"Sebagai anak Johor, sudah tentu saya tumpah taat setia kepada raja dan negeri Johor. Menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu juga sebahagian matlamat perjuangan parti saya yang termaktub  dalam Perlembagaannya.

"Jadi, jangan persoalkan kesetiaan saya kepada Sultan Johor. Isu yang berada di hadapan kita sekarang bukan isu kesetiaan. Isu pokoknya kedaulatan. Ia adalah soal prinsip," katanya dalam kenyataan, semalam.

Kelmarin, Aziz mencabar Muhyiddin menyatakan kesetiaannya sama ada terhadap Sultan Ibrahim atau Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu Forest City.

Muhyiddin berkata, persoalan pokok dibangkitkan Mahathir adalah berasas iaitu Forest City bukan satu bentuk pelaburan asing, sebaliknya penjualan tanah kepada syarikat asing.

"Syarikat asing tidak menanam modal, sebaliknya beli tanah untuk dibangun dan dijual. Pekerja terdiri daripada warga asing yang sebahagian besar didatangkan dari China dan bahan binaan juga dari sana. 

"Malah pembeli unit-unit kediaman berjumlah 700,000 unit juga sebahagian besarnya warganegara China. Justeru, apa manfaat kepada rakyat dan negara Malaysia selain keuntungan diperoleh syarikat-syarikat yang menjalin usaha sama dengan syarikat China?," katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri Johor mematuhi dasar kerajaan iaitu tanah dijual kepada pelabur asing mestilah tidak berstatus hak milik kekal.

"Adakah dasar ini tidak dipatuhi Kerajaan Negeri Johor ketika meluluskan penjualan tanah di Forest City kepada syarikat asing? Atau adakah dasar mengenai pemilikan tanah oleh orang asing telah berubah?

"Persoalan ini perlu dijawab Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Muhyiddin berkata,  kerajaan negeri tidak boleh ketepikan dasar pemilikan tanah oleh warganegara asing walaupun ia berada di bawah bidang kuasa negeri.

"Apakah sekatan-sekatan yang biasa dikenakan ke atas pemindahannya boleh diketepikan begitu sahaja hanya dilihat dari sudut keuntungan wang ringgit tanpa mempedulikan soal hak dan kedaulatan negeri?," soal beliau.

Kata Muhyiddin, Bersatu akan terus mempertahankan bumi Johor dan Malaysia daripada jatuh dimiliki orang asing.

"Bagi saya, kesetiaan tidak bersifat membuta tuli. Ia mestilah berpaksikan kepada prinsip kebenaran. Itu juga diajar oleh agama Islam. 

"Ketika kedaulatan negara sedang tergugat dan kepentingan rakyat terancam, maka sebagai seorang warganegara yang setia kepada raja dan negara, tanggungjawab saya adalah untuk bercakap benar," katanya.

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .