(Utusan) PEKAN 15 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai 'jaguh pusingan U' kerana sejak akhir-akhir ini sering mengubah pendirian termasuk dalam isu pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Perdana Menteri berkata, pada 26 Disember lalu, Dr. Mahathir membuat kenyataan kononnya pemberian BR1M itu rasuah dan salah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun kata beliau, dalam hanya tempoh kira-kira tiga minggu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengubah pendirian dan membuat pusingan U dengan membayangkan tidak akan menghapuskan bantuan berkenaan jika pembangkang berjaya menguasai kerajaan.
"Ini bererti jika dilihat kebelakangan ini, beliau membuat terlalu banyak U-turn dari segi pendiriannya. Jadi kita boleh anggap beliau sebagai jaguh U-turn.
"Beliau membuat kenyataan satu demi satu yang bercanggah sama sekali dengan pendiriannya sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016 serta bantuan 'Kembali Ke Sekolah' Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Ketika berucap pada majlis pelancaran PPBM di Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor malam tadi, Dr. Mahathir membayangkan pemberian BR1M akan diteruskan dan diagihkan oleh pegawai-pegawai kerajaan.
Menurut Najib, kerajaan tidak menganggap BR1M sebagai rasuah kerana ia diberikan demi manfaat rakyat, malah konsepnya tidak banyak berbeza dengan pendekatan Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang dari segi penyaluran bantuan.
Kata beliau, langkah tersebut adalah seperti semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri apabila menyalurkan bantuan kebajikan dan wang ihsan kepada rakyat Terengganu.
"Malah kita lihat dalam laman sesawang PPBM sendiri ada ruang menyatakan mereka sanggup membantu jika rakyat mahu BR1M. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sewaktu menjadi pemimpin dalam kerajaan turut mempertahankan dasar kerajaan memberi BR1M kepada rakyat," ujar beliau.
Tambah Perdana Menteri, pemberian BR1M tidak seharusnya dijadikan bahan politik kerana ia adalah usaha murni membantu rakyat yang diusulkan oleh Bank Negara Malaysia.
Berhubung 'tawaran istimewa' Dr. Mahathir bagi menarik perhatian rakyat antaranya akan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Perdana Menteri berkata, kenyataan itu untuk mengaburi mata rakyat dan bermain dengan sentimen.
Kata beliau, sebuah kerajaan memerlukan hasil dan langkah menghapuskan GST menyebabkan kehilangan kira-kira RM40 bilion setahun.
"Soalnya, apa sumber lain bagi menggantikan GST, itu dia tak sebut. Ini hanyalah untuk mengaburi hati rakyat dan bermain dengan sentimen serta tidak berpaut kepada hakikat sebenar. Kita tidak boleh beri sesuatu kenyataan yang tidak berpaksi kepada realiti," katanya.