Archive for April 2017

Hadi: Mengapa DAP begitu takut?



MARANG 11 April – Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas DAP yang lantang dan keras menentang perundingan antara Pas dan UMNO dalam soal membabitkan syariat Islam.

Presiden Pas itu percaya kemarahan DAP terhadap Rang Undang-undang Mahkamah Sya­riah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 dipengaruhi rasa takut jika dilaksanakan, masyarakat bukan Islam akan melihat kebaikan hukum Islam itu.

Menurutnya, DAP merupakan 'anak butir tahi' PAP iaitu merujuk Parti Tindakan Rakyat yang memerintah Singapura.

"Singapura ini bapa DAP. Yang memerintah Singapura PAP. Dulu Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Si­ngapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP. Jadi, DAP ini anak butir tahi PAP. Ini sebut dengan bahasa yang kasar sikit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana sempena kejayaan pembenta­ngan RUU 355 di Rusila, malam tadi sejurus selepas kepulangannya disambut ribuan penyokong di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Tegas Abdul hadi, di mana salahnya perundingan sesama parti Melayu Islam sedangkan kerajaan negeri pimpinan DAP di Pulau Pinang juga berunding de­ngan Amerika Syarikat.

"DAP boleh pula berunding dengan pihak-pihak di Amerika Syarikat untuk campur tangan mencaturkan negara ini. Politik Malaysia biarlah orang Malaysia yang buat perubahan. Tak perlu jemput Amerika Syarikat mari, tak perlu jemput negara asing mari.

"Ini kita berunding dengan UMNO tak boleh, dia berunding dengan Amerika Syarikat boleh. Nak jemput Amerika Syarikat campur tangan dalam negara kita, ini tak apa?" soalnya.

Menurut Abdul Hadi, tiada sebab orang bukan Islam takut dan menentang RUU 355 kerana mahkamah syariah tidak boleh menghukum orang bukan Islam.

Beliau percaya bukan semua masyarakat bukan Islam menentang rang undang-undang itu dan Pas akan mengambil peluang selama tiga bulan ini untuk memberi penjelasan kepada semua pihak yang berminat.

"Saya tulis satu artikel yang tak disiarkan lagi, RUU 355 ini laksana satu batu besar yang dihempas dalam lubuk yang tenang. Kita ingatlah lubuk itu tak ada buaya, semuanya ikan.

"Bila terhempas batu besar rupanya timbul habis buaya, ular, ikan toman, ikan keli, timbul belaka. ini hikmahnya. Jadi hikmahnya kita tahu siapa musuh Islam, siapa kawan orang Islam," katanya.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

RUU 355: Bukan pintu belakang laksana hudud



KUALA LUMPUR 6 April - Rang Undang-undang Mah­kamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 bukan merupakan pintu belakang ke arah pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana hukum hudud ternyata sukar untuk dilaksanakan kerana memerlukan sekurang-kurang­nya tiga pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pindaan RUU 355 hanya terhad untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah tanpa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ke­rana tiada peruntukan baharu dimasukkan dalam akta sedia ada.

"Justeru, mana-mana pihak yang menentang penambahbaikan mahkamah syariah adalah petanda buruk kepada kematangan politik dan perpaduan di negara ini.

"Ahli-ahli Parlimen bukan Islam tidak berhak menolak penambahbaikan mahkamah syariah ini. Mereka perlu sedar yang mereka bertanggungjawab kepada kelompok Islam yang mereka wakili, tetapi mereka langsung tidak mengorbankan hak kelompok bukan Islam.

"Jika kepentingan sedemikian yang begitu didambakan masyarakat Islam tidak dapat ditunaikan, apakah yang boleh diharapkan jika hak umat Islam itu bercanggah kepentingan peribadi mereka?" soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan rang undang-undang itu dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas turut menegaskan, hak kaum dan amalan agama serta perkembangan politik di negara ini sepatutnya ditangani dengan matang, namun sikap segerombolan ahli politik sama ada Islam atau bukan Islam yang menentang penambahbaikan sistem kehakiman Islam negara amat dikesali.

Jelasnya, hukuman sebatan dalam Islam adalah untuk mendidik dan bukannya menyeksa sekali gus ia berbeza dengan hukuman sivil.

"Hanya ahli politik yang kemaruk dengan undi mereka hampir menjadi hilang kewarasan dengan mencetus kebimbangan masyarakat bukan Islam untuk menolak pindaan Akta 355.

"Saya ingin mengingatkan pemimpin bukan Islam, jangan mempermain-mainkan agama Islam yang telah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi memberitahu, batas hukuman yang terkandung dalam akta tersebut pada masa ini terbatas dan amat jauh ketinggalan berbanding hukuman dalam mahkamah sivil.

Beliau menarik contoh hukuman yang dikenakan bagi mereka yang didapati bersalah memelihara hidupan liar dengan mengenakan hukuman denda sehingga RM50,000 sedangkan kesalahan syariah seperti ajaran sesat yang boleh menyeleweng akidah umat Islam hanya dikenakan denda RM5,000.

"Apakah demikian rendah­nya harga akidah orang Islam? Tergamakkah kita membiarkan agama Allah dimartabatkan sedemikian rendah sedangkan Islam adalah agama negara di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan?

"Di manakah orang Islam memperoleh keadilan dan pem­belaan sewajarnya dalam negara yang ditadbir orang Islam? Diania­yai sebegitu rupa kecuali batas hukuman lebih tegas dikenakan di bawah akta sedia ada," ujarnya.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

PAN pengkhianat sebenar Pas



(Utusan) DALAM mana-mana parti politik akan ada 'Abu Jahal'nya.

Dalam tampil juga dengan persoalan sama ada hendak atau tidak melihat Pas bersekutu dengan UMNO, mereka yang meraguinya harus mendukung matlamat perpaduan Melayu.

Pimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelihatan luhur jika menyambut olahan kerjasama Pas-UMNO.

Sekarang ini orang Tionghua pun mula bercakap di kedai-kedai kopi tentang penyatuan dalam kalangan mereka. Dan kalaulah Pas ketika ini berasa telah dikhianati oleh serpihannya PAN, parti itu harus segera muncul mengemukakan perjuangannya yang berlandaskan al-Quran serta mendahulukan orang Melayu.

Realitinya siapa pengkhianat sebenar Pas? Renungkan olahan ini:

1. Adakah PAN akan wujud andai Presidennya, Mohamad Sabu tidak kalah perebutan jawatan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan Jun 2015? Tapi mujurlah Mohamad Sabu tewas, malah kalah teruk sekadar raih 279 undi berbanding 881 undi diperoleh pencabar­nya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

2. Kesemua pemimpin PAN sedia ada menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) atas tiket Pas. Tetapi malangnya berpaling tadah dan menggigit balik jentera pilihan raya Pas yang memberi mereka kemenangan.

Mereka ini perlu menjawab kepada ahli Pas:

Datuk Dr. Mujahid Yusof (Parlimen Parit Buntar), Dr. Siti Mariah Mahmud (Parlimen Kota Raja), Dr. Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai), Khalid Samad (Parlimen Shah Alam), Hanipa Maidin (Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).

Lima lagi adalah ADUN iaitu Datuk Seri Dr. Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib).

3. PAN berhajat besar menjadi pengganti Pas tetapi tidak kesampaian. Andai sebilangan 13 calon PAN dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Mei 2016 menang, PAN pasti mendabik dada. Malang kesemuanya gagal termasuk sembilan hilang deposit.

Pada Jun 2016, PAN cuba mencalar imej Pas di Selangor dengan meletak calonnya se­rentak dengan Pas berdepan BN, tetapi tewas juga. Andai PAN menang, Khalid Samad pasti akan memperlekehkan Pas dan menuntut tiga exco Pas dalam kerajaan PKR Selangor letak jawatan.

4. Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa dahulu dikenali 'ayam tambatan' Pas. Kini tidak layak 'memperbe­tulkan' Pas termasuk isu Rang Undang-Undang Akta 355. Sejak menyertai PAN 30 Ogos 2016, Husam sering menyerang Pas serta menguar-uarkan kesedia­an PAN mengambil alih Kelantan.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Tempoh reman Tan Sri cuba rasuah Sultan Johor dilanjutkan



PUTRAJAYA 4 April - Tempoh tahanan reman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang ditahan bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilanjutkan selama tiga hari lagi bermula esok.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnin Wan Ab. Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkannya disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Ahli perniagaan berumur 54 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9.30 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju tertera Lokap SPRM.

Khamis lalu, lelaki berbangsa Cina itu diminta menyerah diri kepada SPRM selepas Sultan Ibrahim mendedahkan terdapat seorang individu cuba merasuah baginda dengan menawarkan RM2 juta bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, pada 25 Mac lalu menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook, baginda bertitah supaya SPRM mengadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat. - UTUSAN ONLINE

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Hadi bentang sendii RUU355

MARANG 31 Mac - Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan dibentangkan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.

Menurut Presiden Pas itu, pembentangan rang undang-undang tersebut telah mendapat persetujuan kerajaan yang kemudiannya akan dibahaskan dalam sesi kali ini.

Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung sehingga 6 April ini.

Abdul Hadi walau bagaimanapun berkata, tarikh pembentangan pindaan itu bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.

"Insya-Allah saya akan bawa sendiri (bentang RUU 355) di Parlimen dan kita sudah dapat persetujuan untuk bawa dalam sidang kali ini juga dan akan dibahaskan.

"Speaker akan tentukan masa mengikut standing order Parlimen selesai urusan kerajaan. Walau bagaimanapun kerajaan boleh beri (tarikh pembentangan) pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita sejurus selesai me­nyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, dekat ini hari ini.

Abdul Hadi mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.

Kelmarin, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur berkata, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Abdul Hadi.

Abdul Hadi berkata, keputusan BN tidak membentangkan rang undang-undang tersebut tidak memberi kesan kepada Pas untuk meneruskan pembentangan.

"Tak ada kesan. Sebenarnya kerajaan setuju dan beri jalan untuk kita bawa (bentang)," katanya.

Beliau turut menggesa semua ahli Parlimen yang beragama Islam supaya bersama menyokong pembentangan tersebut kerana itu merupakan kewajiban dalam Islam.

"Ini berkaitan dengan hak dan kewajiban orang Islam. Tidak ada sebab bagi orang bukan Islam untuk campur tangan," tegasnya.

Ditanya mengenai pelbagai halangan yang dihadapi Pas untuk membentangkan RUU 355 itu, Abdul Hadi berkata: "Kita hadapi halangan itu dan kita kenal siapa yang menghalang."

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

RUU355 milik Kerajaan

KUALA LUMPUR 31 Mac – Dakwaan kerajaan menolak Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 adalah tidak berasas kerana akta itu milik kerajaan walaupun ia akan dibawa oleh Pas bagi cadangan me­minda akta itu sebagai usul persendirian.

Timbalan Menteri di Jabatan Per­dana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak timbul isu kerajaan menolak RUU 355 ini kerana akta itu adalah milik kerajaan di bawah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang telah lama ada.

"Cuma bezanya, cada­ngan pindaan ini dibentangkan oleh Pas di Parlimen dan bukannya kerajaan, tetapi ramai keliru bahkan sewenang-wenangnya membuat andaian dan kesimpulan bahawa kerajaan menolak pindaan tersebut.

"Selepas dicadangkan oleh Pas, terpulang kepada kuasa demokrasi di Parlimen untuk membincangkan dengan baik dan buruk setiap aspek dalam pindaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 dan sebaliknya kekal sebagai usul persendirian yang akan dibawa oleh Pas.

Asyraf berkata, usul persendirian RUU 355 akan mengikut prosedur dan aturan mesyuarat Parlimen yang memerlukan semua Rang Undang-undang Ke­rajaan diselesaikan terlebih dahulu.
Menurutnya, jika ditakdirkan RUU 355 ini diterima kelak dengan majoriti mudah, maka RUU ini diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan penya­ta kerajaan.

Katanya, kerajaan tetap istiqomah dalam usaha memartabatkan institusi mahkamah syariah sejak Akta 355 diperkenalkan kerajaan pada tahun 1965 sebelum dipinda buat kali pertama pada 1984 dan kali kedua 1989.
"Persoalannya kini, adakah parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan terutamanya Amanah, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR bersedia menyokong RUU 355 ini jika Pas membentangkannya," katanya.

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

PM Najib : Hubungan Malaysia-Korea Utara tidak putus

CHENNAI 31 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Beliau sebaliknya yakin hu­bungan diplomatik antara kedua negara akan pulih seperti sedia­kala selagi norma-norma diplomasi dan Konvensyen Vienna dipatuhi.

"Saya harap Korea Utara tidak buat seperti ini lagi, sebab ini akan memudaratkan hubungan Korea Utara-Malaysia," katanya dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Chennai, hari ini.

Perdana Menteri dan rombo­ngan kemudiannya berlepas ke New Delhi bagi meneruskan lawatan rasmi enam hari ke India.

Menurut Perdana Menteri, penyelesaian kes pembunuhan abang Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam menepati objektif rundingan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Katanya, pasukan yang terlibat dalam proses rundingan telah menetapkan dua objektif utama iaitu memastikan semua rakyat Malaysia di negara itu dapat ke­luar dengan selamat dan rundingan perlu mengambil kira kedau­latan negara tidak dike­tepikan.

"Walaupun pihak Korea Utara menetapkan beberapa syarat yang sukar semasa rundingan, persefahaman akhirnya dapat dicapai dan mereka telah tunaikan hasrat kita," katanya.

Kepada satu soalan apa antara 'kesukaran' yang dihadapi oleh pasukan perunding, Najib menjelaskan negara tersebut meminta dibuat beberapa perubahan pada saat akhir.

"Ada kalanya waktu rundingan tidak sesuai seperti pada pukul 3 pagi," jelas beliau.

Perdana Menteri juga menjelaskan beliau tidak terlibat dalam rundingan tersebut dan tidak ada menghubungi pemimpin tertinggi negara itu ketika proses rundi­ngan berlangsung.

Ditanya mengenai nasib tiga suspek yang disyaki bersembunyi di Kedutaan Korea Utara, Perdana Menteri berkata, mereka telah disoal siasat oleh polis dan dibenarkan meninggalkan Malaysia.

"Saya percaya mereka telah keluar dari negara kita," kata­nya. – UTUSAN

Leave a comment
Jom komen di Facebook!

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .