CHENNAI 31 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.
Beliau sebaliknya yakin hubungan diplomatik antara kedua negara akan pulih seperti sediakala selagi norma-norma diplomasi dan Konvensyen Vienna dipatuhi.
"Saya harap Korea Utara tidak buat seperti ini lagi, sebab ini akan memudaratkan hubungan Korea Utara-Malaysia," katanya dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Chennai, hari ini.
Perdana Menteri dan rombongan kemudiannya berlepas ke New Delhi bagi meneruskan lawatan rasmi enam hari ke India.
Menurut Perdana Menteri, penyelesaian kes pembunuhan abang Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam menepati objektif rundingan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
Katanya, pasukan yang terlibat dalam proses rundingan telah menetapkan dua objektif utama iaitu memastikan semua rakyat Malaysia di negara itu dapat keluar dengan selamat dan rundingan perlu mengambil kira kedaulatan negara tidak diketepikan.
"Walaupun pihak Korea Utara menetapkan beberapa syarat yang sukar semasa rundingan, persefahaman akhirnya dapat dicapai dan mereka telah tunaikan hasrat kita," katanya.
Kepada satu soalan apa antara 'kesukaran' yang dihadapi oleh pasukan perunding, Najib menjelaskan negara tersebut meminta dibuat beberapa perubahan pada saat akhir.
"Ada kalanya waktu rundingan tidak sesuai seperti pada pukul 3 pagi," jelas beliau.
Perdana Menteri juga menjelaskan beliau tidak terlibat dalam rundingan tersebut dan tidak ada menghubungi pemimpin tertinggi negara itu ketika proses rundingan berlangsung.
Ditanya mengenai nasib tiga suspek yang disyaki bersembunyi di Kedutaan Korea Utara, Perdana Menteri berkata, mereka telah disoal siasat oleh polis dan dibenarkan meninggalkan Malaysia.
"Saya percaya mereka telah keluar dari negara kita," katanya. – UTUSAN