KUALA LUMPUR 31 Mac – Dakwaan kerajaan menolak Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 adalah tidak berasas kerana akta itu milik kerajaan walaupun ia akan dibawa oleh Pas bagi cadangan meminda akta itu sebagai usul persendirian.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak timbul isu kerajaan menolak RUU 355 ini kerana akta itu adalah milik kerajaan di bawah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang telah lama ada.
"Cuma bezanya, cadangan pindaan ini dibentangkan oleh Pas di Parlimen dan bukannya kerajaan, tetapi ramai keliru bahkan sewenang-wenangnya membuat andaian dan kesimpulan bahawa kerajaan menolak pindaan tersebut.
"Selepas dicadangkan oleh Pas, terpulang kepada kuasa demokrasi di Parlimen untuk membincangkan dengan baik dan buruk setiap aspek dalam pindaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 dan sebaliknya kekal sebagai usul persendirian yang akan dibawa oleh Pas.
Asyraf berkata, usul persendirian RUU 355 akan mengikut prosedur dan aturan mesyuarat Parlimen yang memerlukan semua Rang Undang-undang Kerajaan diselesaikan terlebih dahulu. Menurutnya, jika ditakdirkan RUU 355 ini diterima kelak dengan majoriti mudah, maka RUU ini diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan penyata kerajaan.
Katanya, kerajaan tetap istiqomah dalam usaha memartabatkan institusi mahkamah syariah sejak Akta 355 diperkenalkan kerajaan pada tahun 1965 sebelum dipinda buat kali pertama pada 1984 dan kali kedua 1989. "Persoalannya kini, adakah parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan terutamanya Amanah, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR bersedia menyokong RUU 355 ini jika Pas membentangkannya," katanya.