PUTRAJAYA 8 Ogos - Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an hari ini menolak permohonan dua pemimpin pembangkang untuk mencabar komposisi keanggotaan ahli panel bersidang.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berpendapat suruhanjaya itu dibentuk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berpuas hati agar panel itu memulakan prosiding siasatan selama 10 hari bermula pada 21 Ogos ini.
Sebelum itu, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang bertindak sebagai peguam pemerhati Tun Dr. Mahathir Mohamad dan R. Sivarasa yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar mereka diberi peluang mengemukakan permohonan secara bertulis untuk mencabar komposisi ahli panel atas isu berat sebelah.
Peguam itu menyatakan, Mohd. Sidek yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon sebelum ini terlibat dalam pasukan petugas khas yang mencadangkan pembentukan suruhanjaya itu.
Mohamed Haniff Khatri menyatakan, penglibatan kedua-duanya dikhuatiri menimbulkan persepsi awam bahawa suruhanjaya itu tidak berlaku adil ketika mengendalikan siasatan.
Sementara itu, Sivarasa turut mengemukakan permohonan secara bersama agar kedua-dua peguam pemerhati diberi peluang menyoal balas saksi-saksi secara aktif sepanjang prosiding berlangsung.
Mohd. Sidek mempengerusikan suruhanjaya itu manakala Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail bertindak selaku setiausaha.
Anggota-anggota lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan; dan Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan.
Antara bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:
* Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.
* Menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.
* Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenyataan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.
* Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan
* Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. - UTUSAN ONLINE