MUKADIMAH
BAIK Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahupun anaknya, Lim Guan Eng, mereka dikatakan gemar menuding jari dan menyibuk hal-hal orang lain daripada melihat cermin perbetulkan diri sendiri.
Bercakap berdegardegar kononnya 'tahu segala benda'. Padahal sehingga hari ini pun DAP masih belum mampu selesaikan isu pemilihan partinya yang tidak sah pada Disember 2012. Atau pemilihan semula yang juga tidak sah pada September 2013.
Paparan 10 siri oleh wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menyorot tindak tanduk percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik lepas dan semasa negara.
TAK kisahlah ada kelibat tiga pemimpin Melayu pegang tiga jawatan tertinggi ketuai Pakatan Harapan.
Dan tak kisahlah juga yang dua daripadanya ialah bekas Perdana Menteri dan seorang bekas timbalannya semasa dalam kerajaan dahulu.
Pokoknya di sini, siapa 'kepala' sebenar Pakatan Harapan? Di atas kertas semua maklum DAP lah kerana parti itu memiliki terbanyak, 37 kerusi Parlimen berbanding parti-parti pembangkang lain. Itu sahaja asas perkiraannya.
Hakikatnya apabila gelanggang pengundian pilihan raya umum (PRU) ke-14 dibuka nanti, yakni jangkaan Oktober/November ini atau Februari/Mac 2018, semua orang harus 'akur' bahawa mengundi calon Pakatan
Harapan bermakna menyokong DAP yang dikepalai Lim Kit Siang - kerana bilangan kerusinya.
Sebenarnya pun bukan kerja mudah untuk DAP mencapai kedudukannya seperti hari ini.
Parti itu memulakan misinya dalam PRU 1969 menerusi kerjasama dengan parti-parti lain membina pakatan menghadapi Perikatan.Prinsip yang dipakai ialah hanya satu calon pembangkang berlawan dengan Perikatan.
Datuk Mohd. Asri selaku Presiden Pas waktu itu menjalin kerjasama dengan DAP sehingga mengejutkan tokoh-tokoh politik. DAP meletakkan 23 calon parlimen dan 48 calon untuk DUN.
Hasil kerjasama pembahagian kerusi itu menguntungkan DAP apabila memperoleh 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN. Perikatan gagal mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang dan membentuk kerajaan mutlak di Perak dan Selangor.
Demikianlah seterusnya dalam pilihan raya 1978 apabila Pas 'menghadiahkan' kawasan parlimen Damansara, Bukit Mertajam dan Beruas serta DUN Gopeng kepada DAP. DAP pula membantu Pas mendapatkan kawasan Kuala Kurau di Perak.
Dalam PRU 1990, DAP berpakat dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46), PSRM, Hamim dan Pas. Tetapi kerjasama itu tidak begitu berjaya kerana perbezaan ideologi yang ketara DAP-Pas serta S46. Pemimpin Pas dan DAP sering berdolak-dalik dalam menentukan hubungan yang bakal dimeterai menjelang pilihan raya.
PRU 1995 menyaksikan DAP menang sembilan kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN. Kerjasama DAP-Pas hampir tidak kelihatan.
Dalam PRU 1999 , sebahagian besar penyokong DAP tidak dapat menerima kerjasama DAP-Pas meskipun di sesetengah tempat berlaku pertandingan satu lawan satu BN-DAP atau BN-Pas. Akibatnya DAP hanya mendapat 10 kerusi parlimen.
Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kubu kuat mereka di Pulau Pinang. Kit Siang kalah buat pertama kali.
Bagaimana pula kerjasama DAP-Pas-PKR dalam pilihan raya 2004? PRU itu menyaksikan DAP menang di 12 kawasan Parlimen. Kit Siang menang mudah di kawasan Ipoh Timur. Begitu juga Karpal Singh di Pulau Pinang.
Dalam PRU 2008, DAP meraih pencapaian tertinggi apabila menembusi kubu kuat BN di Pulau Pinang. Parti Gerakan ditewaskan di semua kerusi parlimen yang ditandinginya. DAP memenangi kerusi DUN di Pulau Pinang (19), Perak (18), Selangor(13), Negeri Sembilan (10) , Melaka(5), Johor (4), Pahang (2), Kedah (1) dan Sabah (1). Tiada wakil rakyat Melayu DAP yang menang pilihan raya tersebut. Hanya Tunku Abdul Aziz (Naib Pengerusi DAP) dilantik sebagai senator mewakili DAP.
Pencapaian itu diteruskan dalam PRU-13 dengan DAP mendominasi kerusi Parlimen dalam pakatan.
Realitinya, masih belum pasti sama ada DAP boleh membina semula imejnya sebagai sebuah parti Cina untuk menjadi lebih pluralistik dan inklusif yang boleh menarik semua kumpulan etnik di negara ini.
Bahkan, pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang lalu menyaksikan semua pemimpin Melayu gagal dipilih ke kepimpinan utama parti. Ini sehingga memaksa setiausaha agungnya mencalonkan dua daripada mereka ke CEC.
Berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan PAN, DAP diakui sukar dikejar dan terus dominan, beroperasi sebagai 'abang besar' Pakatan Harapan.