KUALA LUMPUR 9 Okt. - Penasihat DAP, Lim Kit Siang disifatkan sebagai diktator paling hebat dalam arena politik negara ini kerana berjaya menawan dan menjinakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, umum mengetahui Dr. Mahathir sebagai ahli politik merupakan individu yang paling sukar untuk dikalahkan tetapi Kit Siang dapat membuatkan Pengerusi Pakatan Harapan itu menjejakkan kaki ke Ibu pejabat DAP baru-baru ini.
"Dr. Mahathir sepanjang 22 tahun berkuasa dalam UMNO, Kit Siang belum pernah jejakkan kaki ke Ibu pejabat UMNO.
"Tetapi Kit Siang berjaya buat Dr. Mahathir cium pejabat DAP dan ini merupakan tanda bahawa Kit Siang telah berjaya tawan Dr. Mahathir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Bicara Minda dan Sesi Dialog: Perjuangan Untuk Semua anjuran Biro Penerangan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.
Yang turut menjadi panel dalam sesi dialog tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Baru-baru ini Dr. Mahathir buat pertama kali menjejakkan kaki ke Ibu pejabat DAP di sini.
Kehadiran Dr. Mahathir ke bangunan tersebut adalah untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Menerusi gambar dimuat naik dalam laman Facebook DAP, Dr. Mahathir dilihat duduk berlatarbelakangkan logo parti itu dan bersebelahan dengan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng. - UTUSAN ONLINE