6 MAC: UMNO Pulau Pinang dilaporkan menerima makluman bahawa terdapat segelintir rakyat negeri itu yang tidak layak, didakwa menerima bantuan RM700 yang diperuntukkan kepada mangsa banjir besar di Pulau Pinang pada November lalu.
Pendedahan itu dibuat oleh ADUN Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad yang mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri menyalurkan sumbangan pada Disember lalu, yang diterima kepada golongan yang tidak sepatutnya menerima.
"Penduduk Balik Pulau ini bertanya saya bagaimana mereka yang tidak terjejas turut menerima bantuan itu.
"Mereka kata ada rumah yang diberi bantuan untuk lebih daripada seorang. Saya terkejut dan beritahu mereka bahawa pemberian bantuan di bawah kerajaan negeri dan saya tak terbabit," katanya lagi.
Sebelum itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang menerima sumbangan kira-kira RM10 juta untuk mangsa banjir besar itu.
Pada 4 Januari lalu, beliau dilaporkan berkata bantuan sudah diagihkan kepada hampir 49,533 mangsa dalam kejadian banjir yang meragut tujuh nyawa dan menjejaskan 80 peratus kawasan negeri itu.
Justeru wakil rakyat UMNO itu meminta kerajaan diterajui DAP menjelaskan jumlah sebenar sumbangan yang diterima daripada orang awam dan diperuntukkan untuk program bantuan itu.
"Berapa ramai penerima bantuan? Apakah kriteria kelayakan untuk menerimanya? Bolehkah ia diberikan kepada lebih seorang untuk setiap isi rumah?" soalnya.