KDNK suku pertama 2018 berkembang 5.4 peratus


KUALA LUMPUR 17 Mei - Malaysia mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.4 peratus bagi suku pertama tahun ini, lebih rendah berban­ding 5.6 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, perkemba­ng­an ekonomi negara didorong oleh aktiviti sektor swasta yang berterusan iaitu 5.2 peratus dan pertumbuhan eksport bersih yang kukuh pada 62.4 peratus.

Katanya, pertum­buhan dijangka te­rus menggalakkan ta­hun ini dengan per­mintaan dalam negeri terus menjadi pemacu utama pertumbuhan yang berkembang sederhana pada 4.1 peratus manakala penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.9 pe­ratus.

"Inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata dua hingga tiga peratus tahun ini disebabkan oleh faktor kos global yang lebih kecil dan kadar pertukaran ringgit yang kukuh berbanding 2017. Namun, inflasi menurun pada suku pertama tahun ini kepada 1.8 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku keempat 2017.

"Kadar inflasi yang rendah ini mencerminkan sumbangan harga bahan api domestik yang lebih kecil terhadap inflasi kese­luruhan. Meskipun harga mi­nyak dunia lebih tinggi pada suku tersebut tetapi kesannya diimbangi oleh kadar pertukaran ringgit yang lebih kukuh," kata­nya dalam sidang akhbar mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2018 di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini meng­unjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 5.5 hingga enam peratus. Malaysia mencatat pertumbuhan yang baik pada 2017 dengan suku pertama pada 5.6 peratus diikuti suku kedua, 5.8 peratus, suku ketiga 6.2 peratus dan suku keempat, 5.9 peratus menjadikan KDNK ke­se­luruhan 5.9 peratus.

Pada suku perta­ma 2018, eksport ka­-
sar berkembang 5.8 peratus disokong terutamanya oleh eks­port perkilangan yang menyaksikan lebihan daga­ngan meningkat kepada RM33.4 bi­lion. Import kasar pula menurun 0.8 peratus pada suku ber­kenaan.

Keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur walaupun ketidaktentuan meningkat ekoran perkembangan di luar negeri. Akaun kewangan mencatat aliran masuk bersih seba­nyak RM15.2 bilion disokong ali­ran masuk pelaburan langsung asing (FDI) secara berterusan.

Hutang luar negeri juga kekal terurus yang berjumlah RM893.4 bilion atau 61.8 peratus daripada KDNK setakat akhir Mac 2018. Didapati 34.8 peratus daripada jumlah hutang luar negeri adalah dalam ringgit manakala selebihnya dalam dominasi mata wang asing.

Mengenai prestasi ringgit, Muhammad berkata, mata wang itu terus menambah nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang serantau disebabkan oleh pengukuhan sejak 2017.

"Bagaimanapun, masih terdapat risiko yang akan mengehadkan pergerakan ringgit terutama dengan jangkaan langkah pelarasan Dasar Monetari AS yang lebih cepat, perkembangan geopolitik global yang semakin buruk dan ketegangan perdagangan yang memuncak antara AS dan China," katanya.

Beliau berkata, tindakan perdagangan AS dan China sekiranya dilaksanakan akan memberi impak terhadap pros­-
pek pertumbuhan Malay­sia tetapi secara kese­luruhannya, ia ber­gan­­tung kepada be­berapa faktor se­­perti produk yang dikenakan tarif, dedahan Malaysia kepada segmen produk berkenaan dan tempoh pelaksanaan.

Bagi hutang isi ru­mah pula, katanya ia meningkat pada kadar tahunan 5.2 peratus dise­babkan oleh pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman terutama rumah berharga antara RM500,000 dan RM750,000.- UTUSAN



Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .