Kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, UMNO sememangnya dilahirkan sebagai sebuah parti Melayu dan sentimen di peringkat akar umbi sangat kuat agar parti kekal memperjuangkan nasib kaum tersebut.

Jelasnya, tiada guna sekiranya keahlian parti dibuka tetapi barisan kepemimpinannya masih didominasi oleh sesuatu kaum sahaja.

"Kamu boleh menambah satu atau dua orang bukan Melayu se­perti yang dilakukan oleh sesetengah parti dan menjadikannya sebagai parti berbilang kaum. Tetapi 'wajahnya' masih tidak berbilang kaum," katanya dalam program temu bual seperti dipetik daripada beberapa portal hari ini.

Ketika diasak pemberita yang bertanyakan adakah masih sesuai lagi sebuah parti politik berasaskan kaum diwujudkan pada masa ini, Tengku Razaleigh sebaliknya meminta nama-nama parti yang benar-benar tidak berasaskan kaum.

"Beritahu saya yang mana bukan parti berasaskan kaum. Adakah anda menyatakan PPBM bukan berasaskan kaum, adakah anda menyatakan DAP bukan berasaskan kaum.

"Kita mungkin membuka UMNO kepada kaum Cina dan India dan diisytihar sebagai parti pelbagai kaum. Tetapi sedangkan semua ahli jawatankuasa hanya terdiri daripada kami (Melayu) dan menentukan segala dasar-dasar. Adakah itu berasaskan kaum atau pelbagai kaum?" katanya.

Sebelum ini beberapa pihak melihat usaha membuka keahlian parti kepada semua kaum merupakan antara cadangan yang boleh difikirkan untuk menstruktur semula UMNO.

Namun jelas Tengku Raza­leigh, cadangan yang sama pernah dibawa oleh bekas Presiden parti, Datuk Onn Jaafar namun ditolak dan bahkan beliau diminta untuk meninggalkan UMNO.

Jelasnya dari segi sejarah, meskipun UMNO yang mengetuai Parti Perikatan sebelum bertukar nama kepada BN, parti itu tidak pernah mengabaikan nasib kaum lain termasuk sewaktu menggubal Perlembagaan Persekutuan de­ngan turut menghormati hak-hak kaum lain.

Kata Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu, UMNO dibentuk oleh perhimpunan Kongres Melayu pada 1946 kerana ancaman terhadap kedaulatan negara dan parti tersebut memainkan pe­ranan penting dalam merintis jalan kepada kebangkitan melawan penjajah British.

Katanya, walaupun mengalami kekalahan dalam PRU-14, UMNO masih mempunyai 54 Ahli Parlimen iaitu bilangan terbanyak berbanding parti-parti lain sekali gus beliau percaya UMNO mampu kembali bangkit.


Pewaris Melayu : Ku Li untuk Presiden UMNO!!