KUALA LUMPUR: Kira-kira 95% pengundi Cina memilih Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, berbanding 85% yang menyokong gabungan Pakatan Rakyat yang kini telah terbubar pada PRU13, lapor Straits Times (ST).
Bagaimanapun, hanya 25-30% pengundi Melayu memilih PH, laporan itu menambah dengan menunjukkan angka daripada Merdeka Center. Manakala kira-kira 35-40% pengundi Melayu memilih Barisan Nasional (BN) dan 30-33% menyokong PAS.
Laporan itu berkata walaupun terdapat peratusan tinggi dalam kalanagan orang Melayu mengundi PH di Johor dan di negeri pantai barat seperti Melaka dan Negeri Sembilan, sokongan Melayu kepada PH keseluruhannya menurun disebabkan prestasi lemah di Kelantan dan Terengganu.
Kira-kira 70-75% pengundi India menyokong PH, menurut angka itu lagi.
Akhbar itu mengingatkan pecahan undi Melayu akan memberi implikasi besar dalam pilihan raya akan datang, memandangkan PH, BN dan PAS berjuang untuk sokongan mereka.
Ia memetik pengurus penyelidikan Merdeka Centre, Tan Seng Keat berkata walaupun ramai penyokong BN tradisional tidak berpuas hati dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkannya, mereka juga tidak mempercayai PH.
Ini kerana sesetengah orang Melayu mempercayai propaganda PAS dan BN bahawa PH dikawal oleh DAP yang dikuasai oleh kaum Cina.
"Propaganda indoktrinasi bertahun-tahun itu tidak dapat diubah dalam beberapa hari berkempen walaupun dengan Tun Dr Mahathir Mohamad salah seorang anggota PH. Bagi mereka, Umno adalah parti untuk orang Melayu dan Islam. Mereka berasa selamat," kata Tan kepada ST.
Laporan itu, yang memetik penganalisis, berkata pecahan undi Melayu bermakna pemimpin PH harus menangani dengan teliti berkaitan isu yang dianggap sensitif terhadap orang Melayu jika mahu meraih kepercayaan mereka.
Manakala Umno dan PAS akan berusaha lebih kuat untuk meyakinkan orang Melayu dengan menggunakan umpan bangsa dan agama, kata mereka.
Menurut laporan itu, ini dapat dilihat dalam tindak balas Melayu terhadap pelantikan bukan Melayu sebagai menteri kewangan dan Peguam Negara oleh PH. Lim Guan Eng dari DAP adalah menteri kewangan manakala Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara.
Penganalisis juga mengingatkan PH terhadap apa-apa "pergerakan pantas berkenaan isu sensitif".
ST memetik Amir Fareed Rahim, penganalisis dari perunding politik Kumpulan KRA, sebagai berkata: "Jika PH meneruskan apa yang dilihat sebagai agenda 'liberal' seperti mencabar Raja-raja Melayu, dan jika Umno tidak bersedia dalam 5 tahun, orang Melayu akan menyokong PAS. "
Laporan itu menyebut beberapa pemimpin Umno dan PAS berkata kedua-dua parti itu perlu bekerjasama menentang PH.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini berkata: "Gabungan ini (Umno dan PAS) mampu mencabar kerajaan dan penyokongnya yang menghina Melayu dan Islam sejak kebelakangan ini."
Namun, ST melaporkan, saintis politik Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute, mempunyai pemikiran yang berbeza. Beliau percaya kira-kira lebih 20% orang Melayu akan sentiasa menyokong kerajaan hari itu.
"Oleh itu, saya percaya PH sekarang mempunyai sokongan, jika tidak lebih, 50% sokong dalam kalangan orang Melayu selepas pilihan raya," katanya.