Di bulan Ramadan ini, saya lebih banyak meluangkan masa beramal ibadat, mengambil keberkatan bulan penuh mulia ini.
Saya juga banyak menerima kunjungan pemimpin dan ahli UMNO dari seluruh negara, penyokong dan sahabat, yang menziarahi saya di rumah untuk bertanyakan khabar, memberi sokongan dan minta pandangan tentang kedudukan semasa. Boleh dikatakan tak putus-putus mereka yang datang ke rumah, terima kasih.
Selain itu, saya juga dalam proses untuk membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu saya. Saya juga akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan terhadap saya, yang sebenarnya bersifat dendam politik. Setakat ini, saya telah dua kali memberi keterangan kepada SPRM.
Waktu sekarang ini adalah masa yang cukup bernilai untuk saya bersama keluarga, terutamanya anak-anak dan cucu saya kerana saya terlalu sibuk dengan urusan negara selama ini.
Dari segi kebajikan, saya akan terus menyampaikan bantuan zakat kepada kumpulan asnaf, walaupun lebih bersederhana berbanding dahulu apabila ada banyak sumbangan daripada agensi-agensi Kerajaan.
Saya dan keluarga akan menyambut Hari Raya di Pekan.
Kepada ahli-ahli UMNO, teruskan perjuangan parti keramat ini. Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN saya bertanggungjawab atas kekalahan kita dalam PRU 14.
Kita kena bangkit dan masa untuk bersedih telah berlalu. Kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan UMNO, agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.
Oleh itu, ahli UMNO hendaklah kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan UMNO.
Ini kerana UMNO telah banyak berjasa dan sinonim dengan pelbagai kejayaan negara kita.
Bagi diri saya pula, saya akan terus memimpin UMNO Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Pekan.
Insya-Allah, kita akan tabah menghadapi dugaan yang amat hebat dari Allah SWT, semoga Allah SWT merahmati perjuangan kita.