Datuk Seri Zainal Abidin Osman meninggal dunia



KUALA LUMPUR 27 Ogos – Bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman meninggal dunia pada kira-kira pukul 2 pagi tadi di Hospital Ampang.

Perkara itu disahkan oleh adik ipar allahyarham yang merupakan pelakon Syatila Mevin menerusi posting di Instagram awal pagi tadi.

Zainal Abidin, 58, yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2006 hingga Mac 2008 dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit kanser darah (multiple myeloma).

Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke Pulau Pinang dan untuk dikebumikan selepas solat Asar hari ini di tanah perkuburan Masjid Sungai Acheh. -UTUSAN ONLINE

********************************************************************************************************

Sembunyi sakit kanser untuk turun berkempen pada PRU-14

PULAU PINANG 27 Ogos - Allahyarham Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang meninggal dunia awal pagi tadi menyembunyikan tentang penyakit kanser yang dihidapinya semata-mata mahu turun berkempen bersama jentera UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu.

Perkara itu dikongsikan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norliza Abdul Rahim yang berkata, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan turut tidak mahu terlepas menyertai setiap siri jelajah yang dijalankan oleh sayap Wanita UMNO ketika itu.

Menurut Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO, meskipun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, Allahyarham tetap cuba menunaikan tanggungjawab sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum lalu.

"Dari sudut Wanita UMNO Pulau Pinang, kita berasa kehilangan besar kerana Allahyarham begitu memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang dijalankan sayap parti ini.

"Malah, beliau juga kerap mengeluarkan duit sendiri semata-mata mahu memastikan jentera Wanita UMNO mampu memberikan khidmat dan bantuan kepada golongan memerlukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Allahyarham Zainal Abidin meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 2 pagi tadi akibat penyakit kanser darah dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal selepas solat asar hari ini. - UTUSAN ONLINE

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .