KUALA LUMPUR 24 Ogos – Sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 9 September ini bakal menyaksikan kelainan kerana tiada anugerah darjah kebesaran disampaikan seperti amalan biasa sebelum ini.
Perkara tersebut didedahkan tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang memaklumkan pada tahun ini hanya terdapat titah Yang di-Pertuan Agong dan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Dikhabarkan tahun ini tiada anugerah kebesaran oleh Yang di-Pertuan Agong, cuma titah ucapan dan ucapan Perdana Menteri sahaja. Syabas kalau benar begitu.
"Jangan hendaknya amalan was-was ufti terdahulu berterusan termasuk di peringkat negeri. Pasal bintang ini ia semacam cacing dah naik ke mata," katanya menerusi Twitter semalam.
Pada tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan sebanyak 1,518 darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka.
Ketika itu, tiga tokoh tersohor menerima anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun.
Tiga tokoh iaitu Ketua Hakim Negara Tan Sri Md. Raus Sharif dan dua bekas menteri Kabinet iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Dalam pada itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan tiada pemberian pingat dan darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong tahun ini.