Keluar dari ‘perlindungan’ - Duta Turki mengaku Anwar ke rumahnya tanpa diundang – Rais

KUALA LUMPUR 30 Jun – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlindung di kediaman duta Turki di sini sejak pagi semalam dibawa keluar dari bangunan tersebut empat jam selepas Duta Turki ke Malaysia, Barlas Ozener, dipanggil ke Wisma Putra.

Ketika meninggalkan kediaman itu pada pukul 6.45 petang ini, Anwar yang dikerumuni pemberita di luar bangunan Kedutaan Turki di Jalan U-Thant di sini mendakwa beliau dengan rela hati keluar setelah mendapat jaminan keselamatan daripada Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Dalam sidang akhbar di Putrajaya pada pukul 3 petang ini selepas menemui Ozener, Rais berkata, duta itu menjelaskan bahawa Anwar datang sendiri ke kediamannya pada pukul 6 pagi Ahad tanpa diundang.

Anwar berlindung di dalam kawasan Kedutaan Turki selepas satu laporan polis dibuat di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini Sabtu lalu oleh pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, yang menuduh Anwar, 60, meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Anwar mendakwa tuduhan itu adalah satu fitnah dan keselamatannya terancam.

Menurut Rais, Penasihat PKR itu sendiri yang datang menziarahi kediaman Ozener pada pagi Ahad dan kemudian meminta agar

beliau dibenarkan berada di situ mengikut tempoh yang akan ditetapkan pihak kedutaan.

Menteri Luar itu berkata, atas permintaan Anwar, Kedutaan Turki telah membenarkannya berada di kediaman duta atas dasar kemanusiaan.

“Jadi, soal berkaitan suaka politik tidak timbul setakat ini.

“Duta Turki juga berpandangan bahawa beliau mahu Anwar meninggalkan premisnya secepat mungkin,” kata Rais.

Selepas berlindung selama hampir 36 jam, Anwar meninggalkan Kedutaan Turki itu diiringi isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan peguam Sankara Nair.

Anwar juga mendakwa beliau mengambil keputusan untuk keluar dari kedutaan itu selepas turut mendapat jaminan keselamatan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

“Keputusan untuk keluar juga dibuat ekoran jaminan longgar yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia bukan kerana diminta supaya keluar (oleh pihak kedutaan),” dakwanya kepada pemberita ketika kenderaan MPV yang dinaikinya bergerak perlahan untuk beredar dari kawasan Kedutaan Turki.

Anwar kemudian menyampaikan ucapan ringkas mempertikaikan kredibiliti Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Katanya, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara terlibat secara langsung dalam perencanaan jahat dengan memberikan fakta-fakta palsu semasa perbicaraan kes liwat beliau pada 1998 dan 1999.

“Saya ambil keputusan keluar petang ini kerana kerajaan memberi jaminan keselamatan dan saya akan lihat apa yang berlaku selepas ini,” tegasnya.

Difahamkan, selepas keluar dari kedutaan itu, Anwar tidak pulang ke rumahnya di Segambut dekat sini.

Anwar mendakwa kes liwat terbaru yang dihadapinya bertujuan menghalang beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil yang pengisytiharannya akan dibuat minggu ini.

Menurutnya, ada pihak juga cuba mengagalkan rancangan beliau untuk membuat pengumuman rasmi minggu ini mengenai kemungkinan empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), termasuk dua daripada UMNO, menyertai pakatan pembangkang.

“Ini semua usaha golongan tertentu untuk menghancurkan karier politik saya,” tegasnya.

Rais pula memberitahu, dalam pertemuannya dengan Ozener di Putrajaya, Duta Turki itu menolak kenyataan Wan Azizah mengenai keperluan mendapatkan suaka politik untuk suaminya itu.

Penjelasan

Rais berkata, Malaysia menerima penjelasan Duta Turki itu tetapi memaklumkan kepadanya bahawa “istilah ‘tetamu’ kedutaan boleh berubah dan diberi takrifan lain jika tempoh Anwar berada di kedutaan itu berpanjangan.”

Menteri Luar itu turut menyuarakan rasa pelik dengan tindak tanduk Anwar yang cuba bersembunyi sedangkan pada masa ini beliau tidak dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

“Yang berlaku hanya siasatan. Jadi, semua rakyat Malaysia harus akur terhadap kuasa undang- undang di negara ini,” ujarnya.

Rais seterusnya berkata, jika amalan memberi ‘perlindungan’ kepada individu tertentu dipraktikkan oleh kedutaan-kedutaan asing, perkara itu akan menimbulkan masalah kepada negara ini.

“Jika trend ini berterusan, urusan undang-undang akan terbantut dan kedutaan itu mungkin memainkan peranan yang berbaur politik antarabangsa,” katanya.

Beliau yakin pihak polis Malaysia tidak akan membuat serbuan ke atas sesebuah kedutaan untuk menyoal siasat tertuduh kes jenayah kerana setiap kedutaan asing mempunyai kedaulatan di bawah undang-undang antarabangsa berkaitan konsulat dan kedutaan.

“Dalam sejarah negara, tindakan Anwar mencari perlindungan di kedutaan asing adalah kali pertama melibatkan seorang yang penting,” kata Rais.


SUMBER: UTUSAN

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .