Forum UTUSAN:Persoal himpunan protes

Hati saya terdetik untuk menghadiri dan melihat lebih dekat perhimpunan Protes Sejuta Rakyat pada 6 Julai yang pada jangkaan saya akan dihadiri oleh ratusan ribu rakyat bertujuan mendesak pihak kerajaan mengkaji semula keputusan menaikkan harga minyak pada 5 Jun lalu.
Himpunan selama sehari suntuk yang dianjurkan oleh parti pembangkang Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) akhirnya bertukar kepada beberapa perkara yang dikesali dan perlu dipersoalkan.
Pertama, atur cara perhimpunan yang dilihat tidak kemas dan agak berterabur jelas menunjukkan kegagalan pihak penganjur melaksanakan agenda pada hari tersebut dengan baik.
Keadaan perhimpunan yang sepatutnya memperlihatkan tekanan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah akhirnya bertukar kepada satu ‘Karnival Meraikan Kenaikan Harga Minyak’.

Kedua, pembaziran wang, masa dan tenaga terlalu banyak berlaku. Selama ini, pihak parti politik dan NGO terbabit seringkali menghentam kerajaan kerana membazirkan wang rakyat. Walau bagaimanapun, acara pada kali ini jelas menampakkan kegagalan pihak terbabit untuk menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Ketiga, elemen hiburan yang keterlaluan. Penganjuran perhimpunan yang sepatutnya mewujudkan gelombang kesedaran kepada masyarakat berikutan kesan kenaikan harga minyak bertukar seolah-olah menjadi konsert hiburan melampau.

Di saat masyarakat berpendapatan rendah seperti petani dan nelayan terpaksa mengikat perut kesan kenaikan harga minyak dan barang keperluan, seolah-olah penganjur meraikan dengan pesta hiburan melampau. Antaranya dengan menjemput artis sebagai candu kepada masyarakat dalam kesengkangan perut.

Pada hemat saya, adalah lebih wajar wang yang dilaburkan untuk perhimpunan terbabit yang tidak memberi faedah kepada rakyat, diberikan kepada golongan miskin yang memerlukan.
Pihak Pakatan Rakyat telah diberi peluang untuk mentadbir lima negeri selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu maka laksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada anda. Kurangkan bercakap di sana sini, sebaliknya bekerja dengan tekun dan ikhlas serta melaksanakan manifesto dan janji manis yang ditabur kepada masyarakat dan pengundi di kawasan anda.

Anda adalah ikon kepada masyarakat. Jangan terlalu berbangga dengan apa yang anda miliki pada hari ini kerana semuanya adalah milik yang Maha Esa. Dia berhak menarik nikmat pada bila-bila masa yang dikehendakinya.

Saya mewakili golongan mahasiswa berharap agar pihak kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat. Tidak ada gunanya berkempen, berceramah menghentam sesama sendiri semata-mata, meminta rakyat berjimat cermat tetapi dalam masa yang sama mereka adalah pengkhianat wang rakyat.

Kami Majlis perwakilan Pelajar UIAM berharap semua pihak yang memerintah dapat memberikan contoh yang baik kepada kesemua rakyat jelata tidak kira dari latar belakang mana sekalipun. Rakyat adalah yang paling utama.

MUHAMMAD ADIB BIN HATIM
Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Posted in . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

One Response to Forum UTUSAN:Persoal himpunan protes

  1. Salam...

    Deme memang tak boleh nak buat protes kat stadium...tak thrill! tak kena sembur air, tak ada gas pemedih mata....mana best...
    Deme nak yang outlaw...

    www.pilihananda08.blogspot.com

    BalasPadam

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .