Polis mula siasat Dr. Mahathir

PULAU PINANG 15 Feb. - Polis akan memulakan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung tulisan di laman blognya yang didakwa mengandungi unsur hasutan.


Dalam masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengesahkan terdapat laporan polis dibuat selepas tulisan bertajuk 'Malaysia's Shame' (Memalukan Malaysia) itu di­siarkan pada 5 Februari lalu.


Katanya, laporan berkenaan diterima tiga hari lalu dan polis akan bertindak mengikut prosedur.


"Kita tidak boleh beremosi dalam mengambil tindakan seperti mahu segera menahan individu tertentu kerana setiap siasatan memerlukan prosedur dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negeri baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Pelantikan baharu itu menyaksikan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rajab menggantikan Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi yang bertukar ke Perak sebagai Ketua Polis Negeri.


Khalid sebelum ini meminta pihak yang beranggapan tulisan Dr. Mahathir mengandungi perkataan menghasut supaya tampil membuat laporan polis supaya siasatan menyeluruh dapat dilakukan pihaknya.


Menerusi tulisan berkenaan, Dr. Mahathir antara lain mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kredibiliti dalam kes siasatan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Mengulas lanjut, Kha­lid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan peja­bat Peguam Negara berhubung perkara itu tindakan susulan akan diambil dan sekiranya laporan berkenaan mempunyai asas.


Sementara itu, Khalid memberi jaminan keselamatan negara tidak tergugat susulan kesediaan kerajaan membawa masuk seramai 1.5 juta warga Bangladesh ke dalam sektor pekerjaan di negara ini.


Katanya, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk melakukan saringan ketat bagi memastikan warga asing yang masuk itu merupakan pekerja tulen dan mematuhi undang-undang negara.


Sementara itu, Kha­lid berkata, beliau me­ngarahkan polis Kedah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dipukul anggotanya.


Khalid berkata, tiada anggota yang akan dilindungi sekiranya terbukti mereka mela­kukan kesalahan dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika bertugas.


"Saya telah mengarahkan siasatan rapi dilakukan dan itu merupakan prosedur polis yang kita laksana­kan selama ini," katanya. - UTUSAN



Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .