Mana satu nak ikut ni? Mufti Perlis ataupun Mufti Perak?

Pertamanya, arikel dari Harakah

Anwar tidak perlu bersumpah - Mufti Perak

Mohd Rashidi Hassan
Sun | Jul 06, 08 | 7:15:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Ulama terkemuka di Malaysia seperti Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya dan beberapa yang lain menegaskan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah.

Dato' Seri Harussani membuat penegasan itu berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat, tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam.

Ini kerana katanya, tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf.

"Kaedahnya dalam kes ini, ialah 'orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti' dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, "itu cadangan dari orang yang terlebih pandai."

Katanya, masalahnya dalam kes membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.

Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.

"Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi'," tegasnya.

Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh kes atas Anwar adalah yang membabitkan hukum kazaf, bukannya li'an.

"Sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li'an. Menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan kazaf menyalahi hukum syarak," tegasnya ketika dihubungi.

Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara.

"Isunya tidak ada sumpah dalam bab kazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan," tegas beliau._


Yang ini pula dari Utusan Malaysia,

Mufti cadang Nik Aziz jadi orang tengah Mubahalah

06/07/2008 2:33pm

KANGAR 6 Julai — Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan Mursyidul Am Pas menjadi orang tengah yang akan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk “mubahalah" sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.

Katanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat terutama di kalangan para penyokong Pas dan sudah semestinya, beliau layak untuk menjadi orang tengah itu.

Ketika dihubungi Bernama di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau sebolehnya tidak mahu terbabit dalam sebarang isu politik tetapi terpaksa mengeluarkan pandangan apabila menyentuh perkara yang berkaitan agama.

“Saya percaya dengan pengaruhnya, Nik Aziz berupaya menjadi orang tengah,” katanya yang baru selesai menjalani pembedahan kecil di IJN dan dibenarkan keluar dari institut itu hari ini.

Dr Mohd Asri sebelum ini mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau “sumpah” sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta Mufti Perlis tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Bagaimanapun, Dr Mohd Asri berkata, apa yang lebih penting ialah tokoh yang menjadi orang tengah itu mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan diterima masyarakat meskipun beliau merupakan pemimpin politik.

Beliau turut menegur kesilapan fakta berhubung mubahalah yang dikaitkan sebagai kaedah “menjunjung al Quran” sedangkan menurutnya dalam mubahalah, setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika berada di pihak yang salah.

Mufti Perlis itu percaya mubahalah yang tidak memerlukan wang atau modal akan menghapuskan prasangka dan hukumannya adalah adil.

Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut “Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku” manakala satu pihak lagi perlu menyebut “ Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku.”

Katanya, dalam isu yang melanda negara kini, seeloknya bermubahalah agar orang ramai tidak berbalah dan bertelingkah.

“Selepas bermubahalah, kita serah keputusan kepada Allah,” katanya. - Bernama


Posted in . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .