Malaysiakini: Dr M: Pak Lah tak mampu urus kewangan

Pertukaran portfolia antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, merupakan satu pengakuan yang Abdullah tidak boleh menguruskan Kementerian Kewangan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tetapi sebenarnya tak ada apa-apa kerana selama ini pun ia diuruskan oleh (Menteri Kewangan 11), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop," katanya.

Semalam, Abdullah mengumumkan Najib mengambil alih jawatan menteri kewangan manakala beliau mengambil alih jawatan menteri pertahanan.

Namun begitu, kata Dr Mahathir, negara akan menghadapi saat kritikal dalam ekonominya ekoran apa yang berlaku di Amerika Syarikat, terutama kes muflis Lehman Brothers dan langkah menyelamatkan syarikat insurans AIG membabitkan AS$85 bilion.

Bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya malam tadi, beliau mengingatkan bahawa Najib akan disalahkan jika beliau tidak menguruskan ekonomi dengan baik.

Ditanya sama ada pertukaran portfolio itu akan mengurangkan sebahagian tekanan terhadap Abdullah dalam Umno, Dr Mahathir menjawab secara sinis.

"Saya tak rasa beliau merasa apa-apa tekanan pun," kata mantan timbalan perdana menteri itu.

Mengenai penahanan ISA, mantan Perdana Menter itu berpendapat penulis blog Raja Petra Kamarudin dan ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak harus ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka tidak melakukan ketegangan.

Beliau berkata adalah tidak benar sekiranya kedua-dua individu terbabit didakwa menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara hanya kerana meluahkan pandangan masing-masing.

Beliau mendakwa keadaan sekarang tidak begitu tegang jika dibandingkan pada 1987 yang menyaksikan 106 ahli politik ditahan dalam Operasi Lalang.

Teresa dan Raja Petra ditahan pada 12 September lalu. Turut ditahan ialah wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, tetapi beliau dibebasan pada hari berikutnya.

Teresa ditahan untuk siasatan berhubung tuduhan melarang laungan azan di dua masjid, penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan laporan polis terhadapnya oleh beberapa pertubuhan Islam, termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Manakala Raja Petra pula ditahan ekoran kenyataannya dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau hanya akan kembali menyertai Umno pada suatu masa yang tepat.

Kembali ke Umno

Bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya malam tadi, beliau yang juga mantan presiden Umno berkata pelbagai pihak telah berusaha meyakinkan dan memujuknya agar kembali kepada Umno.

"Saya sedang memikirkan untuk menyertai semula Umno, tetapi saya akan menentukan sendiri masa yang sesuai.

"Permohonan (untuk menyertai semula Umno) adalah satu perkara, penerimaan mereka juga harus difikirkan. Jadi saya mahu waktu yang tepat (untuk menyertai semula)," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau didatangi oleh banyak pihak yang meyakinkan beliau bahawa beliau boleh membawa kebaikan kepada Umno, parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional, jika menyertainya semula.

Sementara itu, beliau menerbitkan sebuah buku - 'Blogging to Unblock' yang memuatkan tulisannya dalam laman blognya CheDet.com.

Dr Mahathir mula memblog selepas beliau mendakwa kenyataannya telah dipulaukan oleh media arus perdana.

Posted in . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .