PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan meninggalkan parti Umno buat kali kedua.
Tindakan itu dibuat sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dr Mahathir berkata, langkah itu diambil kerana parti itu bukan lagi seperti Umno dahulu, ia sebaliknya hanyalah sebuah parti penyokong Najib.
"Saya tinggalkan Umno kerana ia kini adalah parti untuk melindungi Najib dari sebarang kesalahan yang dilakukannya.
"Saya tak boleh jadi ahli untuk parti sebegitu memandangkan Umno berjuang untuk menentang Malayan Union, mencapai kemerdekaan serta pembangunan Malaysia," katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Dr Mahathir pernah meninggalkan parti keramat itu pada Mei 2008, bagaimanapun menyertai semula Umno pada tahun 2009.
Difahamkan, tindakannya meninggalkan parti pada waktu itu dibuat kerana kekecewaannya terhadap pucuk pimpinan parti tersebut.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, disebabkan oleh perubahan dalam strategi dan polisi bagi melindungi Najib, Umno tidak lagi berfungsi mengikut perjuangan asal parti itu.
Beliau berkata, negara kini sedang berdepan dengan hari-hari teruk dimana ekonomi negara semakin menurun.
"Penilaian terhadap ringgit negara semakin teruk malah pelaburan dalam dan luar negara juga turut terkesan.
"Selain itu, imej negara juga semakin terjejas disebabkan oleh ekonomi yang makin teruk," katanya lagi.Disamping itu, Dr Mahatir memaklumkan yang beliau juga tidak mempunyai perancangan untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana parti lain selepas ini.
Dalam pada masa yang sama, Dr Mahathir turut memberitahu media bahawa isterinya, Tun Dr Siti Hasmah juga akan turut meninggalkan Umno selepas ini.