Pak Lah yakin Najib mampu corakkan negara

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menyambung kecemerlangan legasi kepimpinan bapanya Tun Abdul Razak Hussein dan dapat mencorakkan masa depan Malaysia yang memenuhi segala potensi.

Abdullah berkata, sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara daripadanya pada 3 April 2009, banyak transformasi telah digarap untuk membawa Malaysia ke pentas yang lebih tinggi.

Menurutnya, transformasi itu bukan sekadar omongan kosong, tetapi telah dan sedang dilaksanakan dan mula mencapai kejayaan-kejayaan yang dibanggakan.

"Saya harap Datuk Seri Najib akan dapat memberi perhatian kepada perkara ini, agar bila negara menyambut 100 tahun pembentukannya, Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip demokrasi, Malaysia kekal sebagai sebuah negara dengan identiti yang utuh.

"Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai tenaga kerja mahir bagi mengisi permintaan ekonomi...Malaysia sebagai sebuah negara yang memenuhi segala potensinya," katanya semasa berucap melancarkan buku 'Najib Razak Berjiwa Besar: Empat Dekad Menongkah Arus Kepimpinan dan Politik (1976-Kini) di sini hari ini.

Turut hadir ke majlis itu isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa menteri, timbalan menteri dan menteri besar.

"Saya sebagai seorang ayah, yakin dan percaya, bahawa jika Allahyarham Tun Razak masih ada bersama kita pada hari ini, beliau pasti cukup berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh anak sulungnya dalam mengisi sebuah ruang cukup besar yang ditinggalkan beliau," kata Abdullah.

Abdullah berkata, Najib telah mengharungi pelbagai cabaran selepas 40 tahun perjalanannya dalam politik dan segala tindakan, perancangan dan kepimpinannya, bakal menjadi penentu kepada Malaysia dalam menuju 100 tahun kemerdekaannya.

Di akhir ucapannya Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah turut memberikan nasihat kepada Najib: "Najib, terus berpegang dengan prinsip-prinsip bapa anda.  Anda telah melakukan yang terbaik buat Malaysia. Namun perlu sentiasa ingat perkara paling penting yang ditinggalkan seorang pemimpin adalah karakter.

"Kestabilan politik dan kejayaan ekonomi adalah penting namun ingat karakter- integriti, kejujuran dan empati. Itu yang mengingatkan saya kepada bapa anda dan bagaimana saya mahu anda juga diingati.

"Ambil ini sebagai nasihat daripada orang tua. Jadilah seorang pemimpin yang disayangi dan dihormati. Bukan yang ditakuti dan dipatuhi. Saya berdoa ke hadrat Allah anda akan dipandu ke jalan yang betul bagi masa depan negara kita yang tercinta."

Buku setebal 467 muka surat tulisan Prof Datuk Seri Dr Khairil Annas Jusoh dan Dr Sabri Mohamad Shariff menceritakan proses pendewasaan Najib dalam politik bermula 1976 hingga menjadi tokoh yang disegani pada hari ini. - Bernama

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .