Kerajaan umum harga 
petrol, diesel setiap Rabu


KUALA LUMPUR 22 Mac – Kerajaan akan mengumumkan pe­netapan harga petrol dan diesel secara mingguan pada setiap Rabu bermula pukul 12.01 ­te­ngah malam bagi menggantikan mekanisme pengumuman secara bulanan seperti sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan kaedah tersebut akan dilakukan buat pertama kali Rabu ini dan harga tersebut berkuat kuasa keesokannya, 30 Mac.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha dan syarikat minyak supaya mematuhi penetapan harga baharu berkenaan dengan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pihak yang menjual petrol dan diesel pada harga selain daripada yang ditetapkan kerajaan.

"Bagaimanapun, bagi mana-mana syarikat dan pengusaha minyak yang ingin melakukan promosi dengan memberikan diskaun daripada harga yang te­lah ditetapkan, boleh berbuat demikian dengan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada kementerian," katanya menerusi siaran Berita Nasional 5 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, hari ini.

Sementara itu, jelas Hamzah, penetapan harga secara pengapungan terkawal pada setiap bulan yang dilaksanakan ketika ini menyebabkan kegelisahan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak apabila perubahan atau kadar turun naik harga ini begitu ketara.

Katanya, ini berikutan kaedah tersebut mengambil pendekatan penetapan harga secara pe­ng­a­­pungan terkawal mengguna pakai formula Penetapan Harga Automatik (APM) yang telah ditetapkan sejak 1983.

"Formula APM ini digunakan mengikut kadar pasaran harga minyak dunia dan kerajaan turut memberikan angkubah perkiraan untuk syarikat mi­nyak dan juga pengusaha ste­sen minyak de­ngan angkubah ini ditetapkan kerajaan dengan mengambil kira komponen se­perti kos produk, kos operasi, margin syarikat dan margin peng­usaha stesen mi­nyak," ujarnya.

Sehubungan itu, Hamzah me­nambah, bagimenambah baik mekanisme sekarang, kementerian melakukan beberapa sesi keterlibatan dan konsultasi de­ngan syarikat minyak, pengusaha stesen minyak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain.

"Hasil daripada perbinca­ngan itu telah dibentang kepada Kabinet dan dipersetujui pada 22 Februari lalu agar kementerian me­lakukan mekanisme pengurusan pengapungan harga terkawal petrol dan diesel secara mingguan.

"Ini bermakna sebarang perubahan harga Means of Platts Singapore (MOPS) dan kadar tukaran asing dapat diterjemahkan lebih tepat mengikut perkiraan pasaran global," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada pemberita di Ang­kasapuri, Hamzah berkata, kerajaan mengambil pendekatan baharu tersebut kerana perkiraan secara bulanan sebelum ini melibatkan perubahan harga yang terlampau sehingga mendatangkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna.

"Kadangkala kita dapati perubahan harga yang terlampau sehingga 20 sen satu liter. Saya yakin mekanisme baharu ini akan memberi rasa yang lebih lega kepada semua pihak terutamanya pengguna," katanya.

Hamzah menjelaskan, selepas tempoh 12 bulan, kementeriannya akan mengkaji semula keberkesanan mekanisme baharu itu sama ada mahu meneruskan kaedah sama atau beralih kepada lain.

Beliau juga menjelaskan, pegawai-pegawainya akan me­nemui rakyat untuk mengadakan sesi dialog bagi menjawab segala persoalan yang bakal dibangkitkan nanti.

"Sebelum ini, saya juga telah mengadakan pertemuan de­ngan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna bagi membincangkan mekanisme baharu ini dan mereka dilihat menyambut baik," ujarnya.


Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .