Najib Mahu Tindakan Mensabotaj Ekonomi Dihentikan



KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak tertentu berhenti daripada melakukan tindakan mensabotaj ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, pendapat dan pandangan yang dibuat tanpa fakta dan asas bertujuan memburukkan ekonomi negara sedikit sebanyak membawa sentimen yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Oleh itu, perkara ini tidak wajar diteruskan walaupun kita ada perbezaan pendapat politik, tapi kepentingan negara tidak seharusnya dijadikan sebagai pertaruhan dalam soal politik kepartian.
 
"Ini amat penting sebab kepentingan negara sepatutnya mengatasi segala-galanya dan inilah yang saya harap dan saya merayu jangan ada unsur-unsur sedemikian," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin tahu bagaimana kerajaan menangani tekanan ke atas ringgit dan sabotaj ekonomi yang dilakukan oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan kestabilan ekonomi negara terjejas.

Perdana Menteri mengambil contoh di mana kerajaan baru-baru ini hampir terlepas pelaburan besar RM31 bilion Saudi Aramco disebabkan oleh tindakan sabotaj yang dilakukan pihak-pihak tertentu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan berjaya meyakinkan pelabur berkenaan dengan mengemukakan fakta-fakta yang tepat mengenai keadaan sebenar ekonomi negara.

"Alhamdulillah, kita berjaya yakinkan mereka bahawa ekonomi Malaysia ini ditangani dengan begitu baik dan kita mendapat penarafan yang tinggi oleh badan-badan penarafan.

"Umpamanya kita dalam kategori 'A-', hanya beberapa negara sahaja dalam kategori 'A', tetapi apa yang disebarkan pihak tertentu adalah sebaliknya," katanya.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang ingin tahu cara-cara kerajaan mengatasi tekanan ke atas ringgit, Perdana Menteri berkata penyusutan nilai mata wang bukanlah unik kepada Malaysia sahaja, sebaliknya keadaan ini turut dialami mata wang serantau yang mencerminkan terutamanya pengukuhan dolar Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .