Tragedi Westminster

LONDON 23 Mac - Genap setahun selepas tragedi serangan di Belgium yang mengorbankan sekurang-ku­rangnya 30 nyawa, kota raya London menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab untuk melancarkan keganasan.

Walaupun hanya melibatkan lima kematian dengan mangsa yang cedera dilaporkan sekitar 40 orang, insiden pada pukul 2.40 petang waktu tempatan (10.40 malam waktu Malaysia) itu mendapat perhatian masyarakat dunia.

Menurut Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Mark Rowley, insiden bermula apabila penyerang terbabit dikatakan memandu secara melulu ketika melalui Jambatan Westminster di sini menuju ke bangunan Parlimen Britain.

Jelasnya, dalam kejadian itu, suspek kelahiran Britain itu dipercayai merempuh tiga orang awam sebelum menikam seorang anggota polis iaitu Keith Palmer, 48, ketika sampai di pintu masuk bersebelahan bangunan berkenaan.

Rowley berkata, keempat-empat mangsa termasuk Palmer terbunuh dalam insiden itu sebelum suspek bersenjata pisau ditembak mati oleh anggota polis yang ber­a­da di tempat kejadian.

"Setakat ini lapan individu ditahan dalam serbuan di Birmingham untuk disoal siasat berhubung insiden tersebut," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Theresa May tidak me­nganggap kejadian itu sebagai ancaman besar terhadap penduduk Britain, namun menegaskan, ka­wa­lan keselamatan tetap akan dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami (rakyat Britain) akan melangkah bersama tanpa memberi ruang kepada aktiviti keganasan serta suara kebencian yang cuba memisahkan kami," katanya selepas mempengerusikan satu mesyuarat tergempar berhubung perkara itu.

Difahamkan, May dan sebahagian daripada ahli Parlimen berada di dalam bangunan Parlimen ketika kejadian.

Sebagai langkah keselamatan, bangunan tersebut terpaksa dikunci serta-merta dan kebanyakan ahli Parlimen terbabit terma­suk May serta orang awam yang berada di situ hanya dibenarkan keluar kira-kira lima jam kemudian.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Datuk Bandar London, Sadiq Khan berjanji akan me­nangani insiden itu dengan sebaik­nya. – DPA/AGENSI



Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .