LANGKAWI 19 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui kepimpinannya selaku Perdana Menteri kuat dengan adanya sokongan daripada kira-kira 3 juta ahli UMNO selama ini.
Presiden UMNO berkata, mandat yang diterima daripada ahli parti itu selama ini membolehkan beliau melaksanakan transformasi demi kemajuan negara bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat.
"Saya ibarat pohon rendang yang kuat kerana UMNO ada di belakang saya. Apabila Datuk Onn Jaafar tinggalkan UMNO dan tubuh parti Negara, tak boleh (setanding UMNO)...
"Sejarah buktikan, pemimpin UMNO yang tinggalkan parti akhirnya sedar dia tak kuat. Yang menyebabkan dia kuat adalah ahli UMNO yang berdiri teguh selama ini.
"Saya sedar, saya tidak kuat tetapi saya sedar ahli UMNO yang sentiasa berada di belakang untuk menyokong saya," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.
Dalam pada itu, Najib meminta mana-mana pihak termasuk ahli UMNO yang tidak suka kepada pemimpin sedia ada supaya tidak menghancurkan parti keramat kepada orang Melayu ini.
"Parti lebih besar (utama) daripada mana-mana orang termasuk diri saya. Parti ini kita mesti pertahankan selagi ada... selagi itu, perjuangan boleh diteruskan.
"Jika UMNO diibaratkan sebagai kapal, jangan tebuk... kalau tidak, kapal akan karam. Jadi, macam man nak berlayar.
"Macam mana dengan orang yang mengharapkan kita (UMNO) membawa mereka belayar ke pulau idaman? Sayanglah pada masa depan negara... pada anak-anak kita yang masih kecil. Generasi TN50 (Transformasi Nasional 2050) yang mengharapkan negara kita hebat dan unggul... apa jadi kalau tiada UMNO dan Barisan Nasional," ujarnya. - UTUSAN ONLINE