KUALA LUMPUR 1 Feb. - Bukan UMNO atau Barisan Nasional (BN), tetapi DAP yang menjadi `ejen' penyebar berita palsu menerusi tentera siber mereka, Red Bean Army (RBA) sebagaimana dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Perkara itu dinyatakan oleh bekas Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menafikan dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya UMNO dan BN merupakan `penyumbang' kepada berita palsu di negara ini.
Tunku Abdul Aziz mendakwa, penyebaran berita palsu yang digerakkan oleh DAP cukup dahsyat sehingga pada suatu tahap ditafsirkan sebagai fitnah bertujuan mahu menjatuhkan kepemimpinan dan mencalarkan imej negara.
"Kita memang tidak bersetuju dengan cara DAP mereka-reka berita palsu, mereka lakukannya hampir setiap hari dengan bermacam-macam dakwaan sehingga menyebabkan status negara kita jatuh.
"Sebagai contoh, bertahun-tahun mereka dakwa negara ini bankrap, itu bukan berita palsu ke? Negara yang maju seperti ini didakwa mereka bankrap," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kit Siang yang mendakwa kononnya pengumuman kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu sebagai tidak meningkatkan keyakinan rakyat kerana kerajaan BN serta UMNO merupakan penyumbang terbesar berita palsu di negara ini.
Mengulas lanjut, Tunku Abdul Aziz percaya kenyataan balas Kit Siang itu bertujuan mahu `menjauhkan' DAP daripada tuduhan menyebarkan berita palsu, yang merupakan kepakaran pembangkang terutamanya parti itu.
"Saya tidak hairan Kit Siang kata begini, kerana beliau nak larikan diri daripada tuduhan DAP sebagai `yang memulakan' berita palsu di negara ini," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE