PILIHAN RAYA politik di Malaysia menyaksikan Johor adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN). Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) 2008, BN berjaya memperoleh 25 kerusi daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, daripada keseluruhan 56 kawasan, pakatan pembangkang cuma menang di enam kerusi.
Tatkala itu Johor masih utuh sokongan pengundi Melayu dan tidak terlibat dengan tsunami pengundi Melayu yang menyaksikan dalam PRU berkenaan, BN hilang lagi 58 kerusi Parlimen di seluruh negara. Situasi itu berubah dalam PRU-13.
Di Johor, BN kehilangan lima kerusi Parlimen dan tewas di 18 DUN - iaitu bertambah empat lagi kerusi Parlimen dan 12 DUN. Fakta ini memperlihatkan bahawa istilah Johor sebagai kubu kuat BN yang sebaris dengan Sabah dan Sarawak mula terhakis. Menyedari hakikat ini, pakatan pembangkang mula yakin tidak mustahil untuk mereka menembusi Johor.
Sejurus sahaja PRU-13, mereka mula menggerakkan jentera berkempen bagi memastikan berlaku pertambahan pengundi di Johor serta memberi fokus terhadap pengundi muda. Begitu juga dengan BN yang turut menggerakkan aktiviti pendaftaran pengundi baharu. Hasilnya terbukti melalui daftar pengundi terbaharu yang menunjukkan Johor adalah negeri kedua tertinggi dari segi jumlah pengundi di belakang Selangor iaitu sebanyak 1,807,528 pengundi.
Pembangkang turut menggunakan kajian data mereka untuk menggerakkan strategi di Johor. Satu alternatif yang dibuat adalah dengan membuat perbandingan jumlah, taburan dan corak pengundi yang berkiblat kepada mereka dalam PRU-13, termasuklah menilai majoriti yang dimenangi BN di Johor dalam PRU lepas.
Statistik memperlihatkan majoriti yang dimenangi BN di Johor cuma 135,094 undi, lebih rendah daripada pertambahan pengundi. DAP pada masa sama agak agresif menggerakkan kempen mendaftar pengundi baharu. Mereka mendaftar di segenap ceruk di Johor. Impaknya, jumlah pertambahan pengundi di Johor meningkat mendadak iaitu sebanyak 302,979 dengan 279,647 adalah pengundi muka baharu. Jumlah ini mencatat pertambahan paling tinggi mengikut negeri.
Walaupun corak pertambahan ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur tentang kekuatan pembangkang mahupun BN kerana ia bersifat tidak sekata di setiap kawasan parlimen, namun pertambahan pengundi ini perlu dicurigai jika dibuat kajian empirikal data yang lebih mendalam kerana corak pertambahan pengundi muda misalnya agak signifikan di kawasan parlimen sasaran pembangkang. Ini dibuktikan melalui kajian di beberapa parlimen.
Parlimen Kulai misalnya, di atas kertas memang ditafsirkan sukar untuk dirampas kembali. Di parlimen ini, sejumlah 54.4 peratus adalah majoriti pengundi Cina manakala pengundi Melayu pula sekadar 34.7 peratus. Begitu juga dengan Parlimen Bakri dengan 52.26 peratus pengundi Cina sementara sekitar 33 peratus sahaja pengundi Melayu - yang nampak sukar untuk ditawan kembali jika diukur berdasarkan perkembangan politik semasa.
Bagi Gelang Patah pula, pertambahan pengundi dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 39 tahun adalah agresif. Seramai 21,243 pengundi muka baharu di Parlimen ini adalah di bawah 39 tahun dengan 10,835 adalah Melayu manakala 7,533 pengundi Cina. Di Pasir Gudang, kerusi Parlimen sasaran pembangkang dengan kedudukan 19,910 orang adalah pengundi kali pertama dengan 11,157 Melayu dan 5,908 pengundi Cina.
Dalam pada itu, Parlimen Segamat menyaksikan jumlah pengundi 53,747 dengan pengundi Melayu berjumlah 24,329, Cina (23,662) dan India (5,459). Pengundi muka baharu pula, 7,483 orang dengan Melayu meliputi 4,305 orang, Cina (2,284) dan India, 733. Daripada jumlah muka baru berkenaan, 5,575 adalah pengundi di bawah 29 tahun.
Jika dibuat perbandingan dengan PRU lalu, Segamat adalah dalam kategori menang tipis. Jika BN tidak berwaspada, Segamat boleh menjadi Parlimen yang kritikal, sekali gus bakal terlepas dari genggaman. Labis juga adalah kawasan menang tipis dengan pengundi seramai 40,194. Pengundi Melayu di situ meliputi 15,234 orang, Cina (18,176) dan India, 5,878. Pengundi muka baharu pula berjumlah 5,204 dengan Melayu (2,518), Cina (1,835), India (655).
Sementara 3,878 pengundi muka baharu adalah di bawah usia 29 tahun. Labis juga dianggap sebuah Parlimen yang kritikal bagi BN. Di atas kertas, selain Labis, Parlimen Pulai turut dilabelkan sebagai kritikal bagi BN. Jumlah pengundi terbaharunya adalah 114,811 orang. Pengundi Melayu di situ terdiri daripada 54,212 orang, Cina (47,033) dan India (11,954). Di kawasan ini, pengundi muka baharunya pula adalah 18,690 orang dengan Melayunya, 9,643, Cina (6,590) dan India, 1,901. Bagi pengundi di bawah 29 tahun di Pulai adalah 17,223 orang termasuklah 11,728 pengundi kali pertama. Secara analisis mudahnya, Parlimen Pulai yang didominasi pengundi India berpotensi untuk BN memperoleh kemenangan.
Bagi Muar pula, jumlah pengundi adalah 52,763 dengan 8,111 meliputi muka baharu. Pengundi Melayu terdiri daripada 33,928 orang, dengan muka baharunya adalah 5,987. Pengundi Cina pula di situ berjumlah 17,845 dengan muka baharunya, 1,935 manakala pengundi India sekadar 739 orang. Di atas kertas, Muar tidak mungkin boleh jatuh ke tangan pembangkang. Parlimen ini adalah kawasan majoriti pengundi Melayu namun dalam PRU-13, BN menang tipis. Malahan ada pihak berani menyatakan Parlimen Muar akan kalah dalam PRU-14 ini. Benarkah?
Dalam gerakan kempen, pembangkang melakukan perang saraf dengan mengumumkan mampu menawan 15 kerusi Parlimen di Johor. Namun setelah dicampur tolak, mereka yakin untuk menawan sekurang-kurangnya 10 Parlimen di negeri itu. Dan jika mampu menang lebih, maka ia satu bonus. Sementara itu, 18 kerusi DUN yang dimenangi pembangkang merupakan modal untuk mereka dalam PRU terdekat ini. Apa pun, BN perlu berwaspada supaya pembangkang tidak menambah lagi kerusi DUN itu.
Walaupun begitu, andai kata pembangkang berjaya menawan beberapa kerusi Parlimen lagi, sudah pasti ia akan turut menjejaskan kerusi-kerusi DUN sedia ada. Jika 10 lagi DUN terlepas, maka kedudukan akan menjadi sama. Inilah yang perlu diberi perhatian. Justeru, BN Johor perlu bekerja keras untuk mempertahankan kawasan-kawasan Parlimen ini kerana jika terlepas maka ia akan mempengaruhi kedudukan Parlimen BN secara keseluruhannya di seluruh negara.
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.