MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita melihat semakin banyak 'penyakit politik' menyerang pemimpin Pakatan Harapan dan sekutu mereka.
Ada yang minta rakyat tidak keluar mengundi. Ada yang mahu merosakkan undi. Ada yang terus cuba menimbulkan keraguan rakyat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun sebelum ini orang yang membuat seruan itu berpuluh-puluh tahun menyuap nasi ke dalam mulut isteri dan anak-anaknya hasil rezeki berkhidmat dengan agensi itu. Ada pula yang mahu kembali menjadi Perdana Menteri biarpun usia bagaikan 'menongkat langit'.
Pembangkang juga diserang 'penyakit', lepas manis sepah dibuang seperti mana dialami oleh sebuah parti serpihan yang sebelum ini pemimpinnya bertindak bagaikan 'duri dalam daging' ketika berada di dalam parti asal semata-mata mahu memenuhi agenda politik 'taiko besar'.
Tetapi sekarang mula rasa dipinggirkan selepas 'taiko besar' dalam pakatan mereka mendapat 'teman baharu' yang dianggap lebih berpengaruh dan mempunyai tokoh lebih hebat.
Kasihan presiden parti itu, jika sebelum ini dia 'ditatang bagaikan minyak penuh' dengan diberi pelbagai keistimewaan terutamanya di Pulau Pinang oleh 'taiko besar' tetapi kini semua sudah berlalu.
'Taiko besar' lebih selesa untuk bersama 'calon Perdana Menteri (PM) sementara'. Walaupun sebelum ini mereka merupakan musuh ketat, tetapi sekarang bak kata orang dah 'cium mulut'. Antara 'taiko besar' dan 'calon PM sementara' semakin akrab. Parti 'isteri setia' pula terus menjadi pengikut. Mahu cakap banyak, bimbang terlepas pula peluang untuk menjadi 'Timbalan Perdana Menteri'.
Walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri sudah 'menyatakan ikrar' untuk sekadar menjadi kuli sahaja, tetapi 'isteri setia' tetap perlu berhati-hati, apatah lagi 'anak Pak Ali' sedang mengintai peluang. Malah khabarnya 'anak Pak Ali' lebih popular daripada 'isteri setia' sejak mereka membuat keputusan bekerjasama dengan 'calon PM sementara'.
Dengar cerita ramai penyokong parti 'isteri setia' kecewa dengan apa yang berlaku. Ia kerana setelah bermati-matian berjuang mempertahankan suaminya yang didakwa dianiaya oleh 'calon PM sementara' tiba-tiba boleh pula bergabung dalam satu pakatan. Maka sia-sialah mereka menyerah badan untuk dibelasah oleh FRU ketika demonstrasi 1998-1999 yang ketika itu negara berada di bawah kuasa 'calon PM sementara'.
Lagipun mereka tidak percaya orang yang mereka pernah anggap sebagai 'Maha Firaun' akan menjadi Perdana Menteri sementara, kalau pun dia memenuhi janjinya, jawatan itu tidak akan diserah kepada 'lelaki mata lebam' memandangkan 'Boboi kan ada'.
Hakikatnya bukan mereka sahaja, malah boleh dikatakan majoriti penyokong parti-parti dalam 'pakat-pakat' berasa tertipu. (Dahulu 'calon PM sementara' pernah berkata, pakatan itu bermaksud pakat-pakat buat perkara jahat).
Dalam kalangan penyokong 'taiko besar' pun sudah ada riak-riak tidak puas hati berikutan tindakan parti dua beranak tersebut kembali bekerjasama dengan lelaki berusia 93 tahun.
Mereka hairan bagaimana semua itu boleh berlaku sedangkan selama 22 tahun, 'taiko besar' dan lelaki berkenaan bagaikan 'air dan minyak' yang tidak boleh bercampur dalam satu kuali.
Selain itu, mereka juga diberikan gambaran betapa 'jahatnya' lelaki tersebut sehingga dianggap oleh seorang pemimpin parti 'taiko besar' - hantu nombor satu di Malaysia.
Tetapi sekarang 'taiko besar' dan lelaki 93 tahun itu sudah duduk semeja, maknanya selama 22 tahun mereka menyaksikan opera politik cukup hebat, sekali gus membuktikan lelaki 93 tahun sanggup menggadaikan prinsip semata-mata mahu melunaskan dendam kesumatnya sehingga bersedia 'merangkak' untuk berbaik-baik dengan 'taiko besar'.
Sementara itu, 'geng kuning' terus 'meroyan' menjelang pilihan raya. Mereka membangkitkan isu-isu yang bertujuan mewujudkan keraguan rakyat kepada SPR. Puak-puak ini bernasib baik kerana mereka bukan berada di zaman pemerintahan 'calon PM sementara'. Kalau tidak, kita boleh bayangkan apa yang berlaku jika 'geng kuning' turun ke jalanan dan di mana mereka akan disumbatkan.
Bagi penulis, sebenarnya, pemimpin 'geng kuning' tidak ada prinsip. Mereka adalah pembangkang tetapi pengecut untuk masuk ke dalam gelanggang politik. Mereka menggunakan slogan mewujudkan pilihan raya bersih, telus dan adil sebagai 'senjata' memburuk-burukkan kerajaan.
Tetapi kalau melihat kepada pencapaian parti-parti pembangkang, terbuktilah puak-puak 'geng kuning' buta mata dan hati serta tertutup minda untuk melihat kebenaran.
Kalau tanya budak tadika pun, mereka boleh tahu, adil atau tidak, bersih atau tidak pilihan raya di negara ini apabila pembangkang terus memerintah Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan hingga ke hari ini.
Bagi 'geng kuning', pilihan raya di negara ini hanya bersih, adil dan telus jika 'geng pakat-pakat' menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum. Selagi itu tidak berlaku, selagi itulah mereka akan terus 'menyalak' termasuklah berbondong-bondong turun ke jalan raya.
Dan kini mereka bangga kerana 'calon PM sementara' yang sebelum ini cukup tegas menentang demonstrasi sudah bersama mereka. Tetapi kita tidak terkejut kerana biasalah ahli politik pembangkang 'menjilat ludah sendiri'!