KUALA LUMPUR: Pertemuan kali terakhir Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) semalam, selepas berakhirnya tempoh mandat 100 hari dilihat sebagai satu langkah tepat oleh Datuk Seri Najib Razak.
Bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sistem tadbir urus Malaysia memberi kuasa mutlak kepada Kabinet yang terdiri daripada Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
"Dan itu adalah cara sepatutnya untuk mentadbir negara berdasarkan Perlembagaan. Malah ramai ahli Parlimen lain turut mempersoalkan bidang kuasa MPK," katanya ketika ditemubual oleh portal FMT di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi MPK, Tun Daim Zainuddin, berkata mandat 100 hari majlis itu berakhir dan mereka sedang menyediakan laporan berhubung kerjanya selama 3 bulan ini.
Selain Daim, majlis itu dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas ketua pegawai eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hassan Marican; pakar ekonomi terkenal, Prof Jomo Kwame Sundaram dan taikun Tan Sri Robert Kuok.
Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan MPK dua hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei lalu untuk menstabilkan kerajaan yang dibarisi menteri tidak berpengalaman.