Ismail Sabri: Tidak ada sebab kenapa Umno akan berkubur



(Malaysiakini) Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno - parti yang diterajuinya selama 22 tahun - bakal berkubur.

Katanya, walaupun BN kecundang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tetapi Umno tetap memenangi 54 kerusi parlimen menjadikannya parti yang mempunyai kerusi terbanyak.

"Malah 46 peratus pengundi Melayu masih memberikan kepercayaan kepada Umno yang memperolehi undi Melayu terbanyak berbanding dengan BERSATU sebanyak 20 peratus.

"Malah PKR hanya mendapat 10 peratus undi Melayu.

"Tetapi Umno sebagai pembangkang dengan jumlah 54 kerusi selepas PRU14 walaupun sehingga hari ini tinggal 49 kerusi tapi masih satu parti terbesar dalam parlimen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, sejarah juga memperlihatkan bahawa pencapaian tertinggi parti-parti yang bergelar pembangkang semasa BN menjadi kerajaan sebelum ini tidaklah setinggi mana seperti bilangan kerusi Umno.

Katanya, PKR hanya mencatatkan pencapaian tertinggi dengan 31 kerusi parlimen, DAP 38 manakala PAS 23.

Beliau seterusnya mempersalahkan parti-parti komponen BN yang gagal menyumbangkan kerusi dan bertegas bahawa orang Melayu masih mempercayai Umno.

"Saya cukup yakin dengan kepimpinan baru ini, hala tuju baru serta semangat baru Umno dari peringkat tertinggi hingga ke cawangan akan bangkit kembali.

"Lebih-lebih lagi orang Melayu sudah mula meragui kemampuan kerajaan hari ini menjaga kepentingan dan hak orang Melayu dan Islam," katanya.

Beliau berkata, beberapa keputusan kerajaan Pakatan harapan jelas menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam selain gagal menjaga ekonomi masyarakat Melayu luar bandar yang akan memperkukuhkan kepercayaan bahawa Umno sahaja yang mampu menjamin kesejahteraan hidup mereka.

"Jadi tidak ada sebab kenapa Umno akan berkubur," katanya sambil menambah kegagalan HARAPAN menunaikan manifesto 100 hari sangat mengecewakan rakyat.

Menurutnya, banyak pihak yang mengundi mereka atas harapan akan tertunai impian yang mereka janjikan.
"Sehingga hari ini kerajaan masih berdolak-dalih dengan janji mereka malah dengan kenyataan-kenyataan lucu dari menteri-menteri mereka menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan hari ini.

"Rakyat sedang membandingkan polisi-polisi kerajaan BN yang lepas yang sangat mesra rakyat berpendapatan rendah.
"Mereka sudah merasai kehilangan sentuhan Umno dan mahu Umno kembali. Jadi siapakah yang akan runtuh," soal beliau.

Rabu lalu, Dr Mahathir semasa mesyuarat dengan anggota Majlis Mengenai Hubungan Luar Amerika Syarikat berkata, ramai anggota Umno mengambil keputusan meninggalkan parti itu kerana mereka kini tidak lagi rasa takut kepada bekas presiden parti, yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Umno kini berpecah-belah, ia hanya menuju kejatuhan. Tiada lagi masa hadapan untuk Umno kerana orang ramai secara menyeluruh bencikan Umno," katanya.

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .