KUALA LUMPUR 27 Sept. - UMNO yang ditubuhkan 72 tahun dahulu tidak pernah bersalah sebaliknya parti itu hanyalah sebuah wadah perjuangan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, ideologi yang dibawa oleh parti itu amat jelas berakar pada pemimpin pengasas.
"Mereka ingin bawa tanah Malaya ke persada dunia, mereka ingin lepas daripada sangkar penjajah, biar terbang bebas mencorak acuan sendiri. Idealisme mereka jelas, semarak semangat nasionalisme dan hidup harmoni berbilang bangsa.
"Pemimpin hari ini perlu sedar, muhasabah perlu hadir dalam diri sendiri. Bertindaklah untuk parti bukan untuk kepentingan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelas beliau, Perhimpunan Agung UMNO 2018 kali ini disifatkan bersejarah kerana buat pertama kali ahli UMNO berhimpun ketika parti itu tidak lagi memegang tampuk pemerintahan.
"Bukan lagi Pak Menteri memberi ucapan malah yang hadir adalah pejuang yang masih yakin kepada wadah parti itu. UMNO sudah sebati dalam darah mereka. Perwakilan dan ahli yang hadir pasti tertunggu-tunggu apa yang hendak dijamu. Santapan minda perkasa gerakan, kedatangan mereka dari seluruh negara, perwakilan dari semua bahagian UMNO, dipilih oleh 22,000 cawangan.
"Apakah hala tuju dan pandangan ke hadapan untuk kelangsungan perjuangan UMNO? Apa perlu kita sama-sama laksanakan? Sudah pasti itu tajuk besar intipati himpunan kali ini. Pembentukan tetapan minda yang baharu dan bersih, biar terjemahan disebar luas ke akar umbi," katanya.
Selain itu, Fairuz berkata, sudah jelas UMNO memerlukan drama baharu pada perhimpunan kali ini.
"Hikayat lama wajib dianalisa, menjadi pedoman hala tuju baharu. Wadah yang ada perlu disesuaikan serasi dengan persekitaran semasa. Persekitaran sepantas kilat, maklumat di hujung jari.
"Wadah UMNO 4.0 perlu diwujudkan. UMNO perlu kelebihan kompetitif untuk terus relevan, terus perkasa untuk generasi penerus. Terus yakin bangkit untuk anak cucu. Wadah utama membentuk Malaysia melayar bahtera bangsa muafakat," katanya. - UTUSAN ONLINE