Anwar angkat sumpah ahli Dewan Rakya



KUALA LUMPUR 15 Okt. – Setelah dilambung gelombang politik selama 20 tahun termasuk keluar masuk penjara, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Presiden PKR, mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada Persidangan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Dalam pada itu, Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kelmarin.

Beliau yakin Anwar akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan terhormat seperti yang dituntut keluhuran institusi tersebut terutama dalam usaha membawa perubahan untuk meningkatkan kewibawaan Parlimen.

"Oleh yang demikian, saya berharap ahli Yang Berhormat (YB) dapat memberi sumbangan yang berguna dan faedah kepada dewan ini dan negara seterusnya dan semoga dapat berkhidmat dengan cemerlang, tahniah sekali lagi YB," katanya dalam upacara mengangkat sumpah di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Gandingan Anwar bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta anak mereka, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mencatat sejarah baharu dalam arena politik tanah air dengan menyaksikan tiga wakil rakyat dalam sebuah keluarga berada di Dewan Rakyat dalam penggal yang sama.

Sabtu lalu, Anwar memenangi PRK Parlimen Port Dickson dengan menerima sebanyak 31,016 undi.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu memperoleh majoriti yang lebih besar iaitu 23,560 undi berbanding 17,710 undi yang dicatatkan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada Mei lalu, Anwar dibebaskan dari penjara selepas rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari pada 2008. – UTUSAN ONLINE

Pewaris Melayu : Tahniah DS Anwar, semoga dapat mencapai impian sebagai Perdana Menteri ke 8 dengan kadar segera menggantikan Perdana Menteri ke 7

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .