Annuar: ICERD umpama 'Malayan Union baru'



(Malaysiakini) Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menegaskan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa PBB Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) seperti menerima gagasan Malayan Union bentuk baru.

"Meratifikasi ICERD adalah umpama menerima gagasan Malayan Union bentuk baru.

"Apakah yang kita kerugian kiranya kita tidak menandatanganinya?" Soal beliau pada ciapan di Twitter malam ini.

Annuar juga membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang juga belum meratifikasikan pelbagai konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Amerika Syarikat sendiri adalah antara negara yang belum meratifikasi pelbagai konvensyen, kenapa pula Malaysia yang nak lebih lebih?" Tanya beliau lagi.

Ada peruntukan ICERD tak sesuai

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyuarakan keraguannya terhadap ICERD.

"Kita kena timbang sebab ada peruntukan-peruntukan yang tidak sesuai dengan negara kita," katanya kepada media ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan mengenai konvensyen itu.

Sebelum ini, pada 30 Oktober lalu, Mahathir berkata kerajaan hanya akan meratifikasi Konvensyen ICERD selepas berbincang dengan semua kaum.

"Perkara ini bukan mudah bagi Malaysia kerana di Malaysia terdapat pelbagai kaum.

"Masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu," katanya.

Pada September lalu, ketika hadir Persidangan Agung PBB yang ke-73, perdana menteri berkata Malaysia akan meratifikasi kesemua konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia selepas mengkajinya secara mendalam.

"Dalam konteks ini kerajaan baru Malaysia berikrar akan meratifikasi semua instrumen PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia tetapi masih belum diperakui negara.

"Bagaimanapun, hal ini tidak mudah kerana Malaysia sebuah negara majmuk dengan pelbagai etnik, agama, budaya dan bahasa.

"Kami akan menyediakan ruang dan masa kepada semua pihak untuk mengkaji dan untuk memutuskan secara bebas berdasarkan demokrasi," katanya ketika berucap di New York.

Pada 23 Oktober lalu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph berkata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan kedudukan istimewa bumiputera, tidak akan terjejas walaupun kerajaan menandatangani ICERD.

 

Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .