Pas tunggu kerjasama dengan MCA - Abdul Hadi

MARANG 29 Mac - Pas tidak menolak kemungkinan hubungan kerjasama yang terjalin dengan parti UMNO dan MIC bakal diteruskan dengan satu lagi parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dalam suasana Islam yang menerima masyarakat majmuk, Pas tidak boleh jumud atau beku sebaliknya, perlu mengambil pendekatan politik yang fleksibel demi kepentingan bersama.

“Kita tunggu (kerjasama dengan MCA), Pas mempunyai pengalaman yang banyak dan panjang bukan sahaja pernah dengan MIC tetapi dengan UMNO, DAP, PKR dan Parti Negara.
“Dalam hukum Islam kita boleh melibatkan bukan Islam dalam pentadbiran negara, saya pernah sebut tentang kerajaan teknokrat yang tak berkait hukum agama, tetapi memfokuskan isu seperti jalan raya, elektrik dan pertanian,” katanya.
Katanya ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara Pas dan MIC yang bermula secara rasmi semalam susulan mesyuarat hampir dua jam barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alur Lit, Bukit Payong dekat sini petang ini.

Menurut Abdul Hadi, kerjasama dengan MIC dicapai hasil kejayaan sayap parti, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dalam mendekati kalangan bukan Islam, terutama selepas mereka memahami bahawa pemerintahan Islam terutama di Terengganu dan Kelantan sama sekali tidak menganiaya kaum lain.

Bahkan, katanya, kerjasama itu telah mula dibincangkan sejak lima bulan lalu yang sekali gus akan memperkukuhkan lagi sokongan bukan Islam khususnya kaum India terhadap Pas.

“Kerjasama dengan MIC ini lebih bersifat perkenalan dengan lebih dekat, penjelasan kita mendapat respon yang baik dan mereka faham hak beragama itu dijamin oleh Islam dan Perlembagaan.

“MIC masih bertahan kerana ada akar umbi kuat berbanding parti lain yang hanya bergerak atas isu-isu tertentu dan apabila isu itu mati, lemahlah (parti itu),” katanya. - UTUSAN ONLINE

Posted in , , . Bookmark the permalink . RSS feed for this post.
Jom komen di Facebook!

Leave a Reply

Catatan Popular di Pewaris Melayu 30 hari lepas

Followers

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark . Converted by LiteThemes.com .